Thursday, 28 November 2013

Chong digantung dari sidang


TINGGALKAN DEWAN: Chong mengetuai wakil rakyat dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) meninggalkan Dewan sebaik Speaker mengumumkan penggantungannya menuju Bilik Media untuk mengadakan sidang akhbar, semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

Enggan tarik balik kenyataannya Abang Johari ‘menyerupai ahli politik UMNO’

KUCHING: Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung daripada menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula semalam sehingga tarikh ditetapkan selepas enggan menarik balik kenyataannya Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ‘menyerupai ahli politik UMNO.’

Kenyataan itu dibuat semasa Chong membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2014) 2013 pada 22 November lalu.

Usul Chong digantung daripada menghadiri persidangan DUN dikemukakan Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-Tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan disokong Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.

Penggantungan Chong bermula apabila Abang Johari yang melakukan ucapan penggulungan bagi Kementerian Perumahan meminta ADUN Kota Sentosa itu agar menarik balik kenyataannya, bagaimanapun beliau enggan berbuat demikian.

“Pada 22 November 2013, YB Kota Sentosa, saya memetik beliau sebagai berkata, ‘Beberapa tahun ini, ADUN Satok, beliau seorang yang budiman tetapi saya berpendapat baru-baru ini beliau mengubah tingkah laku dan sikapnya, mengingatkan saya kepada gaya politik UMNO.’

“Justeru di bawah Perintah Tetap 32 (6), saya mahu YB Kota Sentosa menarik balik kenyataannya itu dan memadamkannya daripada hansad Dewan, jika tidak benarkan saya memberi respons secara personal,” kata Abang Johari.

Beliau menambah, ia tidak ada kaitan dengan UMNO, tetapi sebenarnya Chong menyasarkannya sebagai ADUN Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, Chong mengenakan dua syarat untuk dipersetujui Dewan bagi membolehkannya menarik balik kenyataannya, iaitu pertama UMNO tidak dibenarkan ke Sarawak dan kedua kerajaan negeri seharusnya memastikan UMNO tidak dibenarkan membuka sebarang cawangan di Sarawak.

Tindakan itu menyebabkan Dewan kecoh seketika menyebabkan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar mengambil keputusan agar tindakan diambil ke atas Chong di bawah Peraturan Tetap (Standing Order) 40 (3) (c).

“Ahli Dewan, ini adalah keputusan saya sebagai Speaker, YB Kota Sentosa tidak menafikan beliau telah membuat kenyataan ini, tarik balik tidak boleh disertakan dengan syarat. Jadi, saya mengarahkan anda menarik balik kenyataan itu.

“Jika anda tidak menarik balik kenyataan itu, yang berbentuk tuduhan dengan niat tidak baik, jadi saya akan merujuk kepada Perintah Tetap seterusnya iaitu Perintah Tetap 40 (3)(C) jika ada mana-mana ahli menggunakan perkataan yang dibantah dan enggan menarik balik kenyataannya.

“Jadi saya tiada pilihan, melainkan meminta seorang menteri mengemukakan usul anda digantung menghadiri persidangan DUN dan disokong oleh seorang menteri muda,” katanya.

Adenan bangkit mengemukakan usul: “Saya mengemukakan usul agar YB Kota Sentosa digantung daripada menghadiri persidangan Dewan sehingga tempoh ditetapkan oleh Speaker DUN.”

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Chong berkata alasan penggantungannya daripada menghadiri persidangan DUN bermula semalam tidak masuk akal hanya kerana membangkitkan perkataan UMNO dalam Dewan.

“Saya telah digantung daripada menghadiri Dewan semula hari ini (semalam) hingga bila, tidak tahu. Namun alasan usul untuk menggantungkan saya dengan mengatakan beliau (Datuk Amar Abang Johari) mengamalkan amalan politik yang menyerupai UMNO menunjukkan perkataan UMNO dibantah di dalam Dewan.

“Ini memberi kesimpulan UMNO mesti dibantah, melainkan jika saya mengatakan anda ‘penjenayah’ baharulah ia kenyataan menyakitkan dan boleh dibantah, tapi saya mengatakan ‘Anda berkelakuan seperti ahli politik UMNO’,” ujarnya.

Chong berkata, untuk menarik balik kenyataannya itu, Dewan perlu terlebih dahulu mempersetujui resolusi dikemukakannya iaitu UMNO tidak dibenarkan atau dialu-alukan ke Sarawak dan kedua kerajaan negeri seharusnya memastikan UMNO tidak dibenarkan membuka sebarang cawangan di Sarawak.

“Saya percaya semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, Iban dan Bidayuh tidak mahu UMNO tidak melebarkan sayapnya ke Sarawak. Kenapa saya meletakkan syarat ini?

“Jawapannya ialah Abang Johari selalu mempunyai hubungan yang sangat baik dengan (ahli politik) UMNO. Ini kebimbangan yang sewajarnya, membenarkan UMNO ke Sarawak yang seterusnya akan memusnahkan keharmonian rakyat,” katanya.

Oleh sebab itu, katanya, ketika Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar memintanya menarik balik ke-nyataannya, beliau sudah bersedia melakunya dengan dua resolusi dipersetujui Dewan.

“Persoalannya kenapa Abang Johari tidak berani me-nyokong resolusi saya itu? Pasti ada sesuatu di sebalik ini,” ujarnya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment