Thursday 21 November 2013

GST lebih baik daripada cukai terselindung: Noelle


PENJELASAN LEBIH LANJUT: Noelle semasa menyampaikan ceramah kepada peserta-peserta di Zon Selatan, semalam.


Selama ini kita membayar cukai jualan 16% berbanding 6% menerusi pelaksanaan GST kelak

KUCHING: Sedarkah anda bahawa kita membayar cukai jualan tanpa menyedarinya, iaitu kira-kira 16 peratus selama ini.

Menurut Penolong Kanan Pengarah Kastam II Unit GST Negeri Noelle Lily Morse, ia tidak disedari kerana cukai dikenakan terselindung pada harga barangan yang dibeli oleh masyarakat.

“Sebagai contoh, setiap kali kita membeli barangan termasuk kasut, beg atau baju ia sebenarnya dikenakan cukai sebanyak 10 peratus.

“Namun kita tidak sedari selama ini sebab ia tidak dinyatakan dalam resit atau invois semasa membeli barangan, tetapi ia cuma ditunjukkan kepada pengilang yang berlesen atau didaftarkan untuk mengenakan cukai oleh Jabatan Kastam.

“Ia sebenarnya cukai terselindung dalam harga barangan yang kita beli dan bergantung kepada barangan berkenaan,” katanya semasa menyampaikan taklimat berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) anjuran Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak di Dewan Suarah di sini, semalam.

Kata Noelle, masyarakat juga tanpa menyedari turut membayar cukai jualan termasuk makanan sebanyak lima peratus dan barangan perabot, elektrik, baju, beg, kasut dan sebagainya sebanyak 10 peratus, dengan itu segala harga barangan berkenaan sebenarnya merangkumi cukai jualan.

“Cukai jualan berkuat kuasa sejak 1972 dan dicaj atas barangan terpilih yang dikilang dan diimport dalam Malaysia, namun banyak kelemahan yang kita nampak bagi cukai ini dan ia tidak begitu adil,” ujarnya.

Sementara bagi cukai per khidmatan, yang dikuatkuasakan sejak 1975 juga mempunyai kelemahan iaitu dikenakan ke atas perkhidmatan terpilih selain terdapat pertindihan dalam cukai terbabit.

Memberi contoh dari segi pembelian rumah atau bangunan komersial ujar beliau, peguam, arkitek dan jurutera adalah pemegang lesen cukai perkhidmatan oleh Jabatan Kastam, di mana mereka perlu memberi perkhidmatan kepada kontraktor.

“Dalam kes ini, misalnya pihak berkenaan mengenakan cukai enam peratus kepada kontraktor atau pemaju, maka apabila pemaju menjual bangunan kediaman atau komersial harga rumah itu pastinya dijual dengan tinggi.

“Ia ekoran daripada pertindihan cukai perkhidmatan dikenakan kerana harga rumah atau bangunan komersial itu termasuk cukai perkhidmatan, cukai jualan selain kos pembinaan yang ditanggung pemaju,” jelasnya lebih lanjut.

Sehubungan itu, menyedari kepada beberapa situasi berkenaan, kerajaan mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2015.

Berbeza dengan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada, GST menyaksikan rakyat hanya perlu membayar enam peratus sahaja berbanding 16 peratus sebelum ini.

“Saya mahu menekankan di sini bahawa GST tidak akan membebankan rakyat dan tidak memiskinkan mereka terutama yang berpendapatan rendah.

“GST bukan cukai baharu tetapi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (CJP) dan GST bukan merupakan kos kepada perniagaan berdaftar,” kata Noelle.

Tambah beliau, tiga jenis perbekalan di bawah GST sekiranya ia dilaksanakan nanti adalah kadar rata atau standard iaitu enam peratus (untuk semua peniaga dan industri), kadar sifar (pihak peniaga tidak kenakan GST kepada awam tetapi peniaga mendapat pulangan balik daripada kerajaan) dan dikecualikan cukai.

Sementara itu, taklimat yang diadakan itu semalam bagi Zon Selatan iaitu merangkumi Kuching hingga Sri Aman dengan dihadiri hampir 400 peserta termasuk ketua-ketua kaum.

Bagi kawasan Zon Tengah diadakan di Sibu pada 21 November (hari ini) di Kelab Kesatuan Melayu (MUC) pada jam 9 pagi dan Zon Selatan di Miri pada 22 November di Hotel Meritz pada jam 2 petang. - theborneopost

No comments:

Post a Comment