Thursday 28 November 2013

Fong telah kemuka rayuan bertulis kepada kepimpinan DAP berhubung kedudukannya

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck berkata beliau telah mengemukakan rayuan bertulis kepada pucuk kepimpinan Parti Tindakan Demokratik (DAP) berhubung kedudukannya dalam parti itu.

“Ya, saya telah mengemukakan surat rayuan seperti diminta oleh parti… sekarang saya masih menunggu keputusan daripada parti.

“Jika keputusan tidak memihak kepada saya, itu perkara kecil kerana saya ada perancangan lebih besar.

“Jadi kita hanya tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku nanti,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Fong menambah, beliau mempunyai perancangan lebih besar bagaimanapun ia hanya akan diumumkan nanti apabila tiba masanya.

Fong turut menafikan spekulasi mengatakan beliau akan meninggalkan DAP untuk menyertai parti lain.

“Saya ingin mengikut jejak pemimpin pembangkang terkenal negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, memperjuangkan nasib rakyat dalam ‘pertarungan’ yang lebih besar.

“Dalam perjuangan sebelum ini, bagi saya medan pertarungan sangat kecil, justeru tiba masanya untuk saya berdepan musuh lebih besar dalam medan pertarungan lebih besar dan saya fikir ia lebih bermakna,” ujarnya sambil menambah beliau tidak bermusuh dengan mana-mana pihak.

DAP memecat Fong baru-baru ini kerana didapati ‘menentang parti’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Mei lalu dan beliau diberi masa selama 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini, Fong dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti kerana melawan keputusan jawatankuasa DAP Sarawak untuk mencalonkan Eunice Lim bertanding di kerusi Parlimen Miri pada PRU13 lalu. - theborneopost

No comments:

Post a Comment