Friday, 29 November 2013

Mereka yang terlanjur sertai PKR harus muhasabah diri

KUCHING: Mereka yang masih tidak sedar keterlanjuran menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau parti pembangkang lain digesa bermuhasabah diri.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang berkata demikian menambah, perjuangan dalam PKR tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang berjuang demi kesejahteraan rakyat.

“Alhamdulillah. Mereka yang sebelum ini terlanjur mengikut PKR telah sedar bahawa perjuangan bersama parti tersebut adalah sia-sia dan tidak ada hala tuju.

“Kita berharap yang lain-lain yang masih belum sedar akan juga sedar tentang perjuangan tiada hala tuju PKR,” katanya kepada Utusan Borneo ketika diminta mengulas tindakan kira-kira 100 pemimpin dan ahli PKR Roban keluar parti dan memohon menyertai BN menerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Abdul Karim berkata, tidak ada parti lain dapat menjadi alternatif kepada BN berdasarkan rekod cemerlang sebelum ini yang membolehkan Sarawak terus makmur ekonominya.

“Memang diakui ada kelemahan yang perlu diperbaiki tapi secara menyeluruh BN telah membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat.

“Ia juga mempunyai visi dan hala tuju perjuangan yang murni dan bernas, tidak seperti PKR,” ujarnya.

Kelmarin pengerusi PKR Roban, Saratok bersama setiausaha dan 108 orang ahlinya bertindak keluar parti.

Sehubungan itu, Gani Eli yang mengetuai cawangan tersebut sejak 2011 semalam mengemukakan permohonan untuk menyertai SPDP. - theborneopost

No comments:

Post a Comment