Thursday 11 July 2013

Tiada siapa rampas tanah penduduk Kampung Datu

SIBU: Mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Datu/Hilir dinasihati supaya tidak mendengar khabar angin daripada pihak tertentu yang mendakwa tapak rumah mereka akan diambil.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, tiada sesiapa yang dapat merampas lot tanah milik mangsa-mangsa terbabit selagi ada geran tanah dan usah mempercayai anasir luar yang cuba mereka cerita yang bukan-bukan menge-nai tapak rumah mangsa terbabit.

“Buat masa ini, apa-apa cerita mengenai tapak rumah anda adalah tidak benar selagi tiada sebarang keputusan sahih dibuat.

“Saya menjamin tiada siapa yang akan dapat merampas tanah anda walaupun kerajaan sekalipun.

“Jangan mengeruhkan keadaan malah kita harus bersabar menunggu perkembangan selanjutnya daripada kerajaan untuk membantu anda,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Mangsa Kebakaran Kampung Datu/Hilir daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Masjid An-Nur Sibu, petang semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Putit Matzen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, ADUN Jemoreng merangkap Ahli Lembaga Pengarah Baitulmal dan Wakaf Sarawak Abu Seman Jahwie, Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Ismail Anis dan Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohammad.

Bantuan keseluruhan di-sumbangkan oleh TBS berbentuk wang tunai berjumlah RM288,000 dihulurkan kepada 144 keluarga mangsa bencana terbabit yang bertujuan meringankan beban mereka di samping sebagai persiapan menyambut ketibaan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Daud yang juga Penge-rusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf Sarawak menjelaskan bahawa sebanyak 65 lot terlibat dalam kebakaran terbabit.

Menurutnya, dua lot adalah surau diikuti dua lot lagi adalah tanah perkuburan Islam lama dan 61 lot lagi adalah lot rumah.

“Saya dimaklumkan sebanyak 17 lot rumah masih belum mempunyai geran manakala selebihnya mempunyai geran.

“Diharap mereka yang masih belum mempunyai ge-ran berusaha menyelesaikannya dengan secepat mungkin dengan pihak berkaitan bagi membolehkan mereka mendapat manfaatnya kelak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur menyifatkan lot tanah yang mempunyai geran merupakan pelaburan jangka panjang dan mangsa diingatkan supaya tidak bimbang.

“Percayalah bahawa kerajaan negeri yang diketuai oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan membantu menyelesaikan masalah terbabit agar anda semua dapat kembali kepada gaya hidup seperti biasa dan keluarga terjamin,” jelasnya.

Sementara itu, Daud memberi jaminan bahawa segala keputusan mengenai tapak rumah terbabit belum diputuskan kerana ia adalah melibatkan hak individu atau mangsa kebakaran kerana mempunyai geran.

“Segala keputusan me-ngenai tapak itu adalah diri anda menjawabnya sama ada mahu pindah ke tempat lain atau sebaliknya.

“Tetapi, selepas Hari Raya Aidilfitri ini satu perbinca-ngan akan diadakan di antara mangsa dan wakil rakyat bagi menentukan perkembangan selanjutnya.

“Kita harus memikirkan implikasinya dengan apa keputusan yang anda buat agar apa-apa keputusan yang dibuat akan dapat memberi impak positif kepada anda dan keluarga,” tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Annuar memberi jaminan bahawa tapak rumah mangsa-mangsa kebakaran terbabit tidak akan jatuh kepada tangan orang lain.

“Jangan mempercayai apa-apa cerita di luar sana, cuma anda boleh dengar sahaja. Jangan disebabkan terlalu mempercayai cerita-cerita karut anda akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Selepas Hari Raya Aidilfitri ini kita akan berbincang dan percayalah kerajaan akan memastikan segala keputusan kelak mengenai penempatan baharu anda akan memberi kebaikan yang menyeluruh untuk anda dan keluarga.

“Ingat tiada siapa boleh merampas hak anda,” katanya.

No comments:

Post a Comment