Friday 19 July 2013

Henti eksploitasi kanak-kanak





DIBAWA PULANG: Dua kanak-kanak ditemui di Bazar Ramadan Medan Niaga Satok sambil membawa tabung derma dihantar pulang oleh pegawai JKM kepada penjaga mereka, semalam.


KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam melakukan pemantauan bagi menangani isu kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengutip dana di tempat-tempat awam, termasuk bazar Ramadan.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, jika sebelum ini kementerian hanya melakukan pemantauan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS), tetapi kali ini pemantauan melibatkan pihak polis, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kesihatan.

“Kita melakukan pemantauan dengan pelbagai agensi hari ini (semalam) dan kita menerima aduan daripada orang ramai bahawa masih ada kanak-kanak digunakan untuk mengutip dana atau meminta sedekah.

“Bagaimanapun, pemantauan kita adalah hanya untuk memberi nasihat dan membawa pulang kanak-kanak berkenaan di mana mereka sepatutnya berada kerana menggunakan kanak-kanak (untuk meminta sedekah) menyalahi Akta Perlindungan Kanakkanak 2001 Seksyen 32,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan penguatkuasaan ke bazar Ramadan bertujuan untuk menguatkuasakan Akta Perlindungan Kanak-kanak di Bazar Ramadan Medan Niaga Satok di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah JKMNS Noriah Ahmad.

Lawatan penguatkuasaan semalam menyaksikan dua kanak-kanak yang berada di bazar Ramadan bersama tabung kutipan dihantar pulang oleh kakitangan JKM kepada penjaga mereka.

Menurut Fatimah, antara yang boleh didakwa adalah penjaga kepada kanak-kanak berkaitan di bawah akta yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau dua bulan penjara.

“Kami di JKM di bawah kementerian telah diamanahkan untuk memastikan bahawa akta ini dipatuhi dan di bawahnya jelas menyatakan kanak-kanak berhak untuk mendapat perlindungan dan penjagaan.

“Kanak-kanak tidak dibenarkan untuk mengemis, meminta sedekah sama ada secara membuat persembahan jalanan, bermain atau menawarkan apa-apa juga jualan,” tegas beliau.

Katanya, bagi kementerian beliau, pendekatan yang digunakan adalah dengan memberikan penjelasan sendiri kepada penjaga mengenai akta berkenaan.

“Saya dan kakitangan JKM pergi sendiri ke pusat jagaan kanak-kanak yang kita tahu menghantar kanak-kanak di bazar Ramadan, dengan meletakkan tabung derma bersama mereka.

“Dengan cara demikian ia, akan difahami oleh penjaga kanak-kanak dan kita tidak mahu mereka membenarkan atau mengulangi eksploitasi kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, jika ia merupakan kes yang berulang pihaknya akan mencari bagaimana ia boleh berlaku untuk mengatasi perkara berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fatimah menyambut baik rancangan mewujudkan kemudahan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di negeri ini bagi memudahkan pesakit kanak-kanak menerus- • Horizon kan pelajaran mereka.

“Saya amat bersyukur kerana permohonan kita diberi pertimbangan sewajarnya.

“Dengan statistik pesakit kanak-kanak serta tempoh sakit, dengan adanya ruang yang kosong cukup luas untuk sekolah tersebut, maka ini semua memberi kelebihan kepada pihak kita di Sarawak,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Memetik laporan Bernama semalam, perancangan sedang dibuat untuk mewujudkan kemudahan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.

Beliau berkata, setakat ini penerimaan terhadap SDH amat memberangsangkan kerana ia dilaksanakan berorientasikan pendekatan didik hibur dan fleksibel dalam persekitaran kondusif.

“Kini terdapat lapan buah hospital yang telah mempunyai kemudahan sekolah tersebut dan dua lagi sedang dalam perancangan untuk diwujudkan iaitu masing-masing satu di Sabah dan Sarawak,” kata P.Kamalanathan.

Sementara itu Pengarah Pejabat Pelajaran Sarawak Abdillah Adam berkata, perancangan mengenai cadangan mewujudkan sekolah di hospital iaitu Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching memang sudah ada.

“Bagaimanapun ia masih dalam peringkat perbincangan antara Jabatan Pendidikan Sarawak dengan Jabatan Kesihatan.

“Sekolah Dalam Hospital lebih kepada keperluan pelajar pendidikan khas,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment