Monday 15 July 2013

Harga ayam di Sarawak masih terkawal, di bawah paras RM9.50

KUCHING: Tiada kenaikan harga ayam dilaporkan di Sarawak setakat ini, demikian menurut tinjauan Bernama.

Di Medan Niaga Satok di sini peniaga masih didapati menjual pada harga lama antara RM8.50 hingga RM9.50 seekor, di bawah paras siling RM9.50.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata secara keseluruhan di Sarawak harga ayam masih terkawal.

“Setakat ini KPDNKK masih belum menerima laporan berlaku kenaikan harga ayam di negeri ini, rata-rata peniaga masih menjual di bawah harga siling negeri iaitu RM9.50,” katanya di sini semalam.

Mengulas mengenai tindakan KPDNKK mengadakan kaunter perkhidmatan pengguna dan alat timbang bagi memudahkan pelanggan memeriksa berat barangan yang dibeli dari pasar-pasar berkenaan beliau berkata setakat ini belum ada aduan diterima.

Pasar yang mempunyai kemudahan itu ialah di Kuching iaitu di Medan Niaga Satok dan Pasar Komuniti Stutong, cawangan Sri Aman di Pasar Bersepadu Sri Aman, Sarikei (Pasar Basah Sungai Rajang), Sibu (Pasar Sentral Sibu), Kapit (Market Teresang), Bintulu (Pasar Utama Bintulu), Miri (Pasar Besar Krokop) dan Limbang (Pasar Tamu Muhibah). — Bernama

No comments:

Post a Comment