Monday 15 July 2013

Paip air di tiga bekas kawasan penempatan RASCOM perlu diganti

KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Alexander Vincent menggesa pihak berkuasa berkaitan menggantikan paip air di tiga bekas kawasan penempatan semula RASCOM di sini iaitu di Nanga Tada, Nanga Ngungun dan Nanga Jagau.

Menurutnya, paip air terbabit telah lama dan tidak mampu mengendalikan tekanan air yang tinggi kerana permintaan semakin meningkat.

“Saya telah menerima aduan daripada penduduk mengenai masalah kekurangan air di kawasan tersebut.

“Mereka memberitahu saya bahawa paip air sering didapati pecah dan ia adalah punca utama masalah ini,” katanya selepas merasmikan jeti baharu di Rumah Kubu Sandom, Nanga Tada di sini, petang kelmarin.

Paip itu, katanya telah dibina pada awal 1980-an dan perlu digantikan dengan segera.

Beliau kemudiannya menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk memeriksa meter elektrik yang baharu dipasang dan pendawaian semula di tiga kawasan terbabit.

“Penduduk juga ada mengadu mengenai perkara itu,” tegasnya.

Menurut Kaunselor Bunut Kubu, masalah air di Nanga Tada menyebabkan kesulitan kepada para penduduk.

Mengambil contoh kejadian terbaharu, beliau berkata bekalan air ke rumah panjang mereka hanya kembali normal kira-kira dua minggu lalu selepas paip di kawasan itu pecah sebelum Gawai Dayak.

“Dalam tempoh itu, kami terpaksa membeli air minuman di Sibu Jaya manakala untuk membasuh kami mengambil air sungai dan menadah air hujan,” jelasnya.

Nanga Tada mempunyai 16 rumah panjang manakala Nanga Ngungun, 24 rumah panjang dan Nanga Jagau, 21 rumah panjang.

Ketiga-tiga kawasan mempunyai kira-kira 7,000 penduduk.

Turut hadir Penghulu Ugap Seribu, Penghulu Barnabas Angkis, Penghulu Juin Adan, Kaunselor Berawang Limban dan Tuai Rumah Kubu Sandom.

No comments:

Post a Comment