KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegaskan isu peletakan jawatan Wong Judat daripada Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) perkara tidak penting dan biasa dalam politik.
Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri memberitahu, adalah tidak berbaloi untuknya meng-ulas panjang lebar mengenai perkara yang disifatkannya isu kecil.
“Kenapa anda (media) mahu saya mengulas perkara kecil seperti itu?,” ujar-nya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek berjumlah RM50,000 kepada Yayasan Jantung Sarawak (YJS) daripada Yayasan Sarawak di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia semalam.
Taib berkata demikian apabila diminta mengulas laporan beberapa akhbar tempatan semalam yang melaporkan Judat akan meletak jawatan secara rasmi sebagai ahli dan naib presiden SPDP pada 30 Julai ini.
Judat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, memberitahu media selepas menghadiri Pentas Rakyat anjuran Parti Pekerja Sarawak (SWP) di pekan Kanowit Sabtu lepas bahawa beliau akan meletak jawatan daripada parti bagi memboleh-kannya menyertai SWP.
Katanya, beliau tetap dengan keputusannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti menentang penyandang BN iaitu Datuk Joseph Salang yang dicalonkan semula mempertahankan kerusi itu.
“Pada 30 Julai ini nanti saya akan bertemu dengan Presiden (SPDP) Tan Sri William Mawan dan Timba-lannya Datuk Seri Tiong King Sing di Kuala Lumpur untuk membincangkan keputusan saya ini dengan mereka.
“Saya akan meletak jawatan daripada parti pada keesokan harinya… hasil pertemuan itu nanti tidak akan menjejaskan keputusan saya.
“Tiada apapun yang boleh mengubah pendirian saya ini dan tiada siapa boleh menghalangnya,” ujar Judat.
Beliau secara terbuka juga memberitahu akan bertan-ding di Julau nanti menggunakan tiket SWP dan keputusannya itu tambahnya tidak membawa maksud beliau menentang SPDP atau parti komponen BN yang lain.
“Saya dan SWP menyokong penuh pucuk kepimpinan BN Negeri dan negara. Kami (SWP) mesra BN dan sebaliknya. Kami hanya menentang PRS,” tegasnya.
Judat menjadi ADUN Meluan selama tiga penggal bermula dengan kemenangan sebagai calon Bebas pada pilihan raya negeri 2001 sebelum menyertai SPDP pada 2003.
Tuesday, 24 July 2012
SWP lebih suka bersikap tunggu dan lihat dalam isu Wong Judat
KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) lebih suka bersikap tunggu dan lihat daripada merasa terlalu teruja dengan pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat untuk meninggalkan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan me-nyertai SWP.
Presiden SWP Larry Sng berkata, parti itu perlu me-nunggu pengesahan bertulis daripada Judat yang juga Naib Presiden SPDP.
“Kita perlu menunggu permohonannya untuk me-nyertai parti sebelum membuat sebarang,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom tidak dapat dihubungi untuk mendapat ulasan tetapi pemerhati politik membayangkan SPDP memerlukan masa dan ruang sebelum membuat kenya-taan.
Bagaimanapun, mereka percaya tindakan Judat yang secara sukarela meletak jawatan daripada SPDP akan mengurangkan masalah bagi pemimpin dan majlis tertinggi parti untuk membuat keputusan mengenai tindakan disiplin terhadap beliau.
Dengan penarikan diri Wong daripada SPDP, parti tersebut hanya mempunyai seorang ADUN sahaja iaitu Mawan (DUN Pakan) selepas empat ADUN Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie (Marudi), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu) dipecat daripada parti kerana menentang pucuk pimpinan.
Judat membuat kenyataan untuk meninggalkan SPDP dan menyertai SWP selepas majlis Pentas Rakyat SWP di Kanowit malam Sabtu lepas.
Bagaimanapun ini tidak mengejutkan pemerhati po-litik kerana Judat sudah membayangkan beberapa kali terutamanya selepas kelihatan terlalu rapat dengan pemimpin SWP.
Judat turut menyatakan rasa tidak senang dengan cara Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum meng-agihkan dana pembangunan di Julau yang disebutnya se-bagai alasan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) walaupun beliau menegaskan tidak menentang BN, SPDP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Monday, 23 July 2012
Judat umum keluar SPDP, sertai SWP
KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Wong Judat akhirnya secara terbuka memberitahu beliau akan meletak jawatan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) secara rasmi pada 31 Julai ini bagi membolehkannya menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP).
Bercakap kepada media selepas majlis Pentas Rakyat anjuran SWP di pekan Kanowit malam Sabtu lepas, Judat memberitahu bahawa beliau akan tetap dengan keputusannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menentang penyandang daripada Barisan Nasional (BN).
“Pada 30 Julai ini nanti, saya akan bertemu dengan Presiden (SPDP) Tan Sri William Mawan dan Timbalannya Datuk Seri Tiong King Sing di Kuala Lumpur untuk membincangkan keputusan saya ini dengan mereka.
“Saya akan meletak jawatan daripada parti pada keesokan harinya. Hasil mesyuarat nanti tidak akan menjejaskan keputusan saya. Tiada apa pun yang boleh mengubah pendirian saya dan tiada siapa boleh menghalangnya.
“Saya akan bertanding di Julau di bawah tiket SWP jika (Datuk Jospeh) Salang dicalonkan semula mempertahankan kerusi itu.
“Saya hanya mahu menunaikan hasrat rakyat di sana. Mereka mahu anak tempatan di situ mewakili mereka… penduduk tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi mereka serta yang akan membawa projek-projek pembangunan untuk mereka,” ujarnya.
Ditanya sama ada beliau mungkin akan menyesali keputusan dan kemungkinan kehilangan semua manfaat dinikmati selama menjadi wakil rakyat BN, beliau berkata: “Manfaat apa? Kepada Saya? Saya tidak melakukan perkara ini untuk kepentingan peribadi.
“Saya sudah 48 tahun, bukan budak hingusan, 17 tahun. Saya sudah matang, jadi tiada apa sangat yang hendak dikesali.”
Judat memberitahu keputusannya itu tidak bermakna beliau menentang SPDP atau parti komponen BN yang lain. “Saya dan SWP menyokong penuh pucuk kepimpinan negeri dan negara. Kami (SWP) mesra BN dan sebaliknya.
Kami hanya menentang PRS,” tegasnya.
Judat menjadi ADUN Meluan selama tiga penggal bermula dengan kemenangannya sebagai calon bebas pada 2011 sebelum menyertai SPDP pada 2003.
Beliau menyandang jawatan Naib Presiden SPDP.
Sementara itu Presiden SWP Larry Sng yang turut bercakap kepada media pada majlis sama berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Judat itu sambil menambah, parti baharu itu tidak lama lagi dianggotai dua wakil dipilih rakyat selepas ADUN Pelagus George Lagong.
“Siapa yang mahu menjadi kawan kepada kami, kami mengalu-alukan mereka,” katanya.
Sng menambah, parti itu memperkenalkan manifesto untuk PRU nanti dan mengenai calon beliau memberitahu parti hanya akan meletakkan calon boleh menang.
Minimumkan kesilapan pilihan raya
by Kepu Sidi.
Pendedahan di peringkat awal khususnya berkaitan disiplin akan dipergiat: Jelaing
SARATOK: Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata, untuk memastikan jentera parti mampu berjalan dengan lancar, pendedahan di peringkat awal khususnya yang berkaitan dengan disiplin sewaktu musim pilihan raya akan dipergiatkan dari semasa ke semasa.
Kata Jelaing, usaha itu termasuk prosedur dan pengurusan dalam menghadapi pilihan raya akan datang agar segala kesilapan tertentu dapat dielak atau diminimumkan.
“Pada masa yang sama, seminar yang telah dijalankan sepanjang satu hari ini juga telah kita manfaatkan untuk memberi pengetahuan kepada wakil-wakil parti kita yang mungkin bertugas pada pilihan raya nanti tentang peraturan dan undang-undang baharu pilihan raya yang telah digubal.
“Usaha yang dilakukan ini juga adalah untuk membolehkan pihak kita menyusun dan membuat penilaian semula tentang kesilapan dan kelemahan yang telah berlaku dalam peringkat parti kita, di mana ia telah menyebabkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kita pada pilihan raya yang lepas telah jatuh ke tangan pembangkang.
“Melalui penganjuran seminar ini kita berusaha untuk mengambil dan menilai pandangan yang diutarakan oleh peringkat akar umbi dan berbincang tentang strategi baharu agar kita mampu mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat khususnya di DUN N34 Krian manakala bagi N33 Kalaka pula ia adalah untuk menambahkan lagi sokongan yang telah ada,” kata Jelaing.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Seminar Persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 anjuran Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Saratok di Dewan Rumah Dayak Saratok, semalam.
Seramai 400 orang yang terdiri daripada ahli SPDP dan ketua-ketua masyarakat menghadiri majlis berkenaan.
Menurut Jelaing, matlamat, harapan dan perjuangan parti pada pilihan raya kali ini amat besar sekali maknanya kepada SPDP sendiri, terutama dalam langkah untuk mempertahankan kerusi Parlimen daripada jatuh ke tangan pihak pembangkang.
“Harapan kita pada masa kini adalah untuk mengekalkan majoriti kemenangan di pilihan raya tahun 2008 yang lalu pada jumlah 8,000 undi ataupun menambah lagi jumlah tersebut.
“Dalam tempoh terdekat ini juga kita akan cuba untuk mengatur mesyuarat terutama yang melibatkan Jawatankuasa Penyelaras Suruhanjaya Pilihan Raya daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Parlimen ini bagi mengatur langkah tertentu untuk membantu kita mempertahankan kerusi Barisan Nasional daripada jatuh ke tangan pembangkang,” kata Jelaing yang juga merupakan Ahli Parlimen P205 Saratok.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Kaunselor Kijan Toynbee, Ahli Majlis Tertinggi SPDP Chambai Lindong, Dr James Chela, Ketua Wanita SPDP Cawangan Saratok Dius Kusam dan Ketua Pemuda SPDP Krian James Jimbun.
BN parti yang berjuang membangunkan rakyat
ENGKILILI: Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang membela dan berjuang melaksanakan pembangunan untuk rakyat bukan seperti parti pembangkang yang hanya pandai memfitnah pemimpin-pemimpin BN sahaja.
Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata, parti pembangkang terutama Parti Pekerja Sarawak (SWP) bukan berjuang untuk berusaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat tetapi lebih berminat memburukkan peribadi pemimpin BN dengan melemparkan pelbagai fitnah supaya menyokong mereka.
Sehubungan itu Nyalau berpesan kepada pengundi di negeri ini terutama di kawasan Parlimen Lubok Antu agar tidak mudah termakan hasutan mereka ini.
“Sekiranya kita amati pemimpin-pemimpin SWP ini semasa berucap pada ceramah, mereka hanya pandai memburukkan peribadi pemimpin BN untuk meraih undi.
Berbeza dengan pemimpin-pemimpin BN hanya berjuang untuk membela nasib rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.
Nyalau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Mesra Rakyat di Rumah Awing, Merindun, di sini, semalam.
Pada Jumaat lalu bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang dan Naib Presiden SWP Josephine Mawat dan Munan Laja semasa berceramah di pekan Engkilili mencaci dan memburukkan Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri James Masing, Nyalau dan Dr Johnnical Rayong Ngipa.
Perbuatan pemimpin Iban yang berjuang bersama SWP itu tidak disenangi sama sekali rakyat di kawasan Engkilili yang mendengar ceramah mereka itu.
Selain itu beliau juga menasihati rakyat di kawasan Parlimen Lubok Antu agar terus bersama BN bagi memastikan daerah Lubok Antu terus membangun dari pelbagai aspek pembangunan nanti.
“Hanya BN sajalah mampu meningkatkan taraf hidup anda semua, jadi bekerjasamalah dengan BN,” ujarnya.
Dalam majlis itu Nyalau mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada JKKK Rumah Awing, Merindun, Lubok Antu dan RM5,000 kepada Biro Wanitanya.
Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Uban dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.
BN mesti menangi Parlimen Miri: Chin
MIRI: Wakil daripada Barisan Nasional (BN) harus memenangi kerusi Parlimen Miri agar pembangunan yang dirancang untuk memacu pembangunan bandar raya Miri akan berjalan lancar.
Ahli Parlimennya Datuk Seri Peter Chin khuatir impian membangunkan Miri sebagai bandar raya peranginan utama di utara Sarawak akan terbantut sekiranya kerusi Miri jatuh ke tangan parti lawan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, kekalahan SUPP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan Pujut pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri lalu telah memberi impak dan merubah tahap pelaksanaan projek-projek pembangunan di sini.
“Kami menerima kekalahan di Pujut dan Piasau semasa pilihan raya negeri yang lalu tetapi bukan untuk kerusi Parlimen Miri,” tegasnya kepada media selepas sesi bertemu rakyat di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) petang kelmarin.
Menurut Chin, wakil BN dari Miri penting untuk membolehkan Miri memperolehi peruntukan daripada kerajaan pusat untuk projek-projek infrastruktur berkos tinggi.
Beliau percaya, penduduk khasnya pengundi di sini peka dengan perkara itu kerana mereka telah menikmati banyak pembangunan yang dirancang oleh kerajaan BN selama ini.
“Kita tidak boleh kehilangan kerusi Miri. Pilihan raya kali ini yang akan diadakan pada bila-bila masa adalah cabaran terbesar untuk BN khasnya pasukan BN Miri,” jelasnya.
Chin yang juga merupakan Presiden SUPP meminta pasukan BN Miri fokus dan bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Miri.
Menurutnya, kekalahan di dua kerusi itu harus dijadikan pengajaran untuk penduduk Miri agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda parti lawan ketika kempen pilihan raya.
“Biarlah ia menjadi pengajaran untuk kita agar lebih bekerja keras dan mengingatkan kita agar berkhidmat sebaiknya untuk rakyat,” ujarnya sambil menambah ia turut melibatkan kerjasama erat antara parti komponen BN.
Semangat perpaduan dan kerjasama dalam BN akan menambah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti dan keupayaan parti memimpin rakyat dan negara.
PKR Sarawak akur ketentuan takdir
KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akur dengan takdir berikutan kematian seorang daripada Naib Pengerusinya, Peter Ato Mayau, yang sebelum ini dikatakan calon berpotensi untuk bertanding di kawasan Parlimen Mambong.
Peter, 53, yang juga merupakan jurutera disahkan terkorban dalam nahas helikopter milik Sebiro Holdings di Sungai Triso, Sri Aman, ketika dalam perjalanan ke Nanga Merit, Kapit atas tuntutan tugas.
Dia pernah bertanding atas tiket PKR namun tewas pada Pilihan Raya Negeri 2011 dalam perlawanan tiga penjuru menentang Roland Sagah daripada Barisan Nasional (BN) dan Ateng Jeros (SNAP) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat.
Mengulas kehilangan seorang pemimpin dan rakan dalam parti, See Chee How yang juga seorang daripada Naib Pengerusi parti tersebut berkata, selagi Peter belum disahkan terkorban, mereka terus berharap agar keajaiban berlaku.
“Kita tidak akan berhenti berharap Peter akan terselamat dan juga tidak mahu membuat sebarang andaian (jika ia sebaliknya),” katanya pada sidang media beberapa jam sebelum mayat Peter dijumpai pada kira-kira jam 2 petang semalam.
See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang turut mengesahkan Peter merupakan calon PKR Sarawak berpotensi untuk bertanding di kerusi Mambong pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Mendiang disifatkannya sebagai seorang yang mempunyai sentuhan peribadi istimewa dan sangat rajin. Beliau mula turun padang di kawasan itu sejak Oktober tahun lalu.
Tambahnya lagi, bapa kepada tiga orang anak itu merupakan seorang yang tahan lasak dan mempunyai tahap kesihatan yang baik dan mereka berdua sering ke kawasan pedalaman Mambong, termasuk mendaki Bengoh.
“Beliau merupakan orang yang disenangi dan disukai ramai,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)