Wednesday 21 May 2014

Formula 50/50 bertujuan selesaikan krisis SUPP: Wong

KUCHING: Bekas Pengerusi Cawangan SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh mempunyai bukti kukuh kewujudan Formula 50/50 yang bertujuan menyelesaikan krisis kepimpinan dalam parti itu.

Menurutnya, surat berkenaan (ditunjukkan kepada pemberita semalam) merupakan satu-satunya bukti menunjukkan ia telah dihantar kepada Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem bersama lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin, Datuk Dr Jerip Susil, Dr Johnical Rayong Ngipa dan Ranum Mina pada 23 April lalu.

Wong yang merupakan ADUN Bawang Assan memberitahu, mereka pada masa itu menerima formula dan pelan tindakan berkenaan bagi penyelesaian secara baik dengan syarat-syarat perjanjian bahawa 50/50 kuasa perkongsian dalam Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP (CWC).

“Ini merupakan surat yang telah kita tulis kepada Ketua Menteri. Bukankah ini bukti wujudnya Formula 50/50?

“Jika tiada formula ini, bagaimana kami berenam berani menulis surat kepada Ketua Menteri dan memberikan salinan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS)?,” katanya membalas kenyataan Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin pada Ahad lalu yang mencabarnya menunjukkan bukti Formula 50/50.

Mengulas lanjut, Wong menyatakan pihaknya juga telah memberikan senarai 13 anggota CWC selaras dengan permintaan Adenan bagi kedua-dua puak berbuat demikian berdasarkan Formula 50/50.

“Oleh itu, kami telah meminta puak Chin bersetuju dengan pelan hala tuju Adenan dan formula ini sehingga 8 Mei tahun ini.

“Sekiranya tidak (mereka tidak berbuat demikian), dan ia dianggap gagal dan keputusan muktamad berkaitan persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) SUPP 2011 kita serahkan kepada ROS .

“Sudah tentu, tidak ada perjanjian kerana dia tidak bersetuju. Tetapi dia tidak boleh menafikan dan mengatakan Formula 50/50 tidak wujud,” jelasnya.

Tambahnya, apabila Ketua Menteri itu meminta kedua-dua puak menyerahkan senarai mereka daripada 13 anggota CWC, Wong berkata tidak ada bukti sahih kerana mereka hanya berjanji secara lisan.

“Kenapa baharu sekarang dia memberi respons apabila kita membangkitkan hal ini?

“Dia hanya menafikan Formula 50/50 selepas menerima surat daripada ROS, menyatakan bahawa tiada pendaftaran.

“Dia berkata itu sah dan oleh itu, tidak ada keperluan bagi formula sedemikian dan meneruskan pemilihan cawangan dan TDC,” jelasnya.

Dalam surat itu juga, terdapat cadangan menangguhkan TDC sehingga selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mengelakkan pertikaian dalaman dan membenarkan parti menumpukan perhatian penuh kepada PRN.

No comments:

Post a Comment