Wednesday 21 May 2014

TERAS boleh memusnahkan perpaduan BN

KUCHING: Perpaduan dalam Barisan Nasional (BN) akan musnah jika para ahli parti-parti komponen boleh meletak jawatan dan bersama-sama membentuk satu parti baharu dan kemudiannya diterima balik ke dalam perikatan tersebut.

Presiden sementara Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing berkata, BN merupakan perikatan parti-parti politik, bukannya untuk individu-individu dan mengikut perjanjian antara komponen-komponen parti, sesiapa yang meninggalkan parti BN tidak boleh membawa keahlian itu bersama.

Jika perkara itu dibenarkan maka asas yang membawa BN bersama selama ini akan goyah, katanya ketika mengulas kenyataan pemerhati politik Datuk Peter Minos yang mengatakan sesiapa menghalang kemasukan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) ke dalam BN perlu mempertimbangkan perpaduan pentadbir negeri ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Tiong membidas Minos kerana menuduh tiga parti komponen BN, SPDP, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak mempedulikan perpaduan.

“Kita bersetuju dengan Datuk Peter Minos bahawa kita perlu ada perpaduan dalam BN dan biar saya jelaskan, untuk mengekalkan perpaduan ini kita perlu membantah kemasukan TERAS ke dalam BN,” katanya.

Tiong menambah, jika bekas presiden SPDP Tan Sri William Mawan berminat memelihara perpaduan dalam BN, beliau tidak akan meninggalkan parti malah mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang timbul susulan tindakannya menerima semula pemimpin-pemimpin parti disingkirkan sebelum ini.

Krisis dalam SPDP, katanya, bukan disebabkan perjuangan kuasa tetapi disebabkan pelanggaran berulang perlembagaan dan resolusi yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali parti.

Beliau turut kesal Minos tidak mengkaji terlebih dahulu isu berhubung TERAS dan tiga komponen parti secara mendalam sebelum membuat sebarang ulasan mengenai perpaduan dalam BN.

“Bagaimana perpaduan boleh wujud jika tiga komponen parti akan kehilangan kerusi BN yang diperuntukkan kepada TERAS jika ia diterima masuk perikatan ini?,” soal Tiong.

Jika TERAS bertanding di mana-mana kerusi diperuntukkan kepada parti komponen BN pada pilihan raya negeri akan datang, Tiong memetik Minos berkata: “Musuh-musuh di pagar akan bersuka ria apabila anda bergaduh.”

Presiden sementara itu menambah, Minos begitu naif kerana memikirkan mana-mana parti BN bersedia menyerahkan kerusi diperuntukkan kepada orang yang meletak jawatan dari parti.

“’Sebagai pemerhati politik, Minos perlu sedar tidak mungkin SPDP, SUPP dan PRS akan menyerahkan kerusi diperuntukkan kepada TERAS. Jika Minos berada dalam mana-mana parti, tidakkah beliau bersependapat?” kata Tiong lagi.

No comments:

Post a Comment