Wednesday, 21 May 2014

TERAS jangan terburu-buru bawa masuk wakil rakyat pembangkang

PAKAN: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dinasihati agar tidak terburu-buru membawa masuk wakil rakyat pembangkang ke dalam parti baharu tersebut.

Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum berkata, sebaliknya TERAS harus berusaha menstruktur serta menyusun parti itu terlebih dahulu.

“Selepas itu, mereka perlu meyakinkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sedia ada untuk menyokong kemasukan mereka ke dalam BN,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PRS Cawangan Pakan di Rumah Jambai, Sungai Engkamop di sini.

Salang yang juga Ahli Parlimen Julau berkata TERAS memerlukan sokongan parti komponen BN lain untuk diterima masuk ke dalam BN.

“Jika anda (TERAS) menerima ahli-ahli pembangkang yang telah berjuang menentang parti-parti komponen BN, misalnya di kerusi Pelagus yang diper-untukkan kepada PRS, ia hanya akan mewujudkan perasaan marah kalangan ahli parti,” katanya.

Salang berpendapat, adalah lebih baik TERAS berbincang dengan BN terlebih dahulu sebelum membawa masuk wakil rakyat pembangkang ke dalam parti tersebut.

Pada 15 Mei lalu, seramai 10 orang wakil rakyat BN dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak SUPP dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) serta seorang wakil rakyat dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) menyertai TERAS.

Wakil rakyat SUPP terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh, Dr Jerip Susil (ADUN Bengoh), Dr Johnical Rayong (ADUN Engkilili) dan Ranum Mina (ADUN Opar).

Sementara wakil rakyat SPDP terdiri Ahli Parlimen Saratok merangkap ADUN Pakan Tan Sri William Mawan, Datuk Peter Nansian Ngusie (ADUN Tasik Biru), Datuk Sylvester Entri Muran (ADUN Marudi), Paulus Palu Gumbang (ADUN Batu Da-nau), Rosey Yunus (ADUN Bekenu) dan Ahli Parlimen Baram, Anyie Ngau.

No comments:

Post a Comment