Tuesday, 25 February 2014

Taib dijangka terima watikah sebagai TYT pada Jumaat ini

KUCHING: Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk menerima watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh, Jumaat ini.

Bernama difahamkan istiadat penyerahan watikah pelantikan itu akan diadakan di Istana Negara di ibu negara kira-kira jam 3 petang.

Taib, yang akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari ini, kemudiannya dijadual pulang ke Kuching pada hari yang sama.

Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat, Jabatan Ketua Menteri yang dihantar ke Bernama di sini semalam, acara sambutan TYT baharu akan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, jam 8 malam.

Keesokannya, istiadat mengangkat sumpah TYT baharu dijadual diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Petra Jaya.

Bernama juga difahamkan, majlis istiadat mengangkat sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baharu oleh Tan Sri Adenan Satem akan turut diadakan pada 28 Februari di hadapan Yang di-Pertua Negeri ketika ini, Tun Abang Muhammad Salahuddin kira-kira jam 9 pagi di Astana Negeri, di sini. — Bernama

No comments:

Post a Comment