Tuesday, 18 February 2014

Adenan diharap perkasa pembangunan di luar bandar

KUCHING: Masyarakat pedalaman berharap bakal Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dapat memperkasakan pembangunan di kawasan luar bandar.

Brown Kuling, 63, dari Betong berharap Adenan dapat meneruskan pembangunan dirancang Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

“Saya berharap Adenan mengikuti langkah Taib untuk membangunkan luar bandar dan meneruskan pelan-pelan pembangunan yang dirancang selama ini,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Brown pada masa yang sama turut mengakui kurang mengenali Adenan.

“Secara jujurnya saya kurang mengenalinya, mungkin kurang publisiti sebelum ini.

“Tetapi saya berharap dan percaya, beliau (Adenan) akan selalu turun padang bertemu rakyat di pedalaman dan di rumah panjang,” katanya.

Beliau pada masa yang sama turut berharap Adenan mampu membantu golongan memerlukan khasnya dari segi pendidikan dan peluang pekerjaan.

Manakala Patrick Garaik turut melahirkan harapan sama agar Adenan meneruskan kerja-kerja pembangunan yang dilaksanakan Taib di kawasan luar bandar.

“Saya berharap beliau terus membangunkan kawasan luar bandar seperti yang dilakukan Taib, khususnya di kawasan yang belum menerima bekalan air bersih, elektrik dan lain-lain.

“Saya berharap pembangunan ini dapat dipercepatkan,” katanya.

Pada masa yang sama, dia yang mempunyai perniagaan sendiri turut melahirkan harapan agar kuota Dayak dalam perkhidmatan awam dan ke universiti dipertingkatkan.

“Perkara itu apabila dilaksanakan nanti akan memberi manfaat kepada graduan-graduan Dayak,” katanya.

Manakala seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Augustine, Christina Linda Collin, 13, turut berharap bakal ketua menteri dapat membantu golongan pelajar dari segi pendidikan dan kemasukan ke universiti.

“Saya harap Ketua Menteri nanti dapat memberi peluang pendidikan kepada pelajar Iban di sini,” katanya secara ringkas. - theborneopost

No comments:

Post a Comment