Thursday 5 December 2013

Belum ada keperluan tubuh bahagian ke-12

KUCHING: Belum ada keperluan untuk menubuhkan bahagian ke-12 di Sarawak, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Moshidi Abdul Ghani.

Menurutnya, bahagian yang ada setakat ini sudah memadai.

“Setakat ini kita okey dengan 11 bahagian. Melainkan ada keperluan, jika sesebuah kawasan mempunyai pembangunan ekonomi serta kepadatan rakyat yang baik,” katanya pada wawancara Hari Perkhidmatan Awam di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika kerajaan negeri mempunyai hasrat atau cadangan bagi menambah jumlah bahagian di Sarawak.

Hadir sama, Setiausaha Persekutuan Negeri Datuk Md Yahaya Basimin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang dan Pengarah Unit Pengurusan Sumber Manusia Dr Razali Abon.

Manakala mengenai keperluan untuk mewujudkan lebih banyak agensi atau jabatan di kawasan lain seperti Jabatan Pendaftaran dan sebagainya, Morshidi memberitahu ia bergantung kepada keperluan.

“Kita perlu nilai dahulu keperluan di sesuatu kawasan,” katanya.

Morshidi turut memberitahu antara cabaran dihadapi kerajaan adalah untuk memenuhi permintaan rakyat yang semakin hari semakin meningkat.

Cabaran lain adalah dalam membangunkan kemudahan di negeri ini.

“Di sini kita perlu memilih keutamaan, yang mana boleh meningkatkan ekonomi, itu kita akan pilih berbekalkan dengan peruntukan yang ada, kita akan laksanakan,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment