Thursday, 5 December 2013

SPDP masih sebuah parti yang kuat, kata Anyi

MARUDI: Meskipun pernah berdepan dengan pelbagai krisis, namun ahli-ahli Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) di sini tetap mempamerkan semangat kuat dan perpaduan Barisan Nasional (BN) yang bersatu padu.

Ini terbukti pada majlis makan malam Hari Krismas anjuran Pergerakan Wanita SPDP di sini yang mendapat sambutan amat menggalakkan dan penuh dengan semangat perpaduan di kalangan ahli serta tetamu.

Menurut Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau majlis makan malam itu bukan sahaja melambangkan saling menghormati, menyayangi dan memaafkan dalam semangat Krismas malah turut membantu memperkukuh hubungan dan kerjasama antara ahli-ahli dalam parti dan tetamu dari parti-parti kompenan BN lain.

“Kita dalam SPDP, tidak ubah seperti sebuah keluarga besar dan ternyata malam ini, kita dapat mengumpulkan bukan sahaja kaum Iban, Kenyah serta Orang Ulu, Melayu dan Cina, tetapi juga kaum Penan,” katanya sambil memberitahu ia adalah contoh perpaduan dan semangat bersatu padu dalam SPDP.

Anyi berkata demikian pada Majlis Makan Malam Pra Krismas 2013 anjuran Wanita SPDP Marudi dan Telang Usan di Dewan Suarah Baram, malam Ahad lalu.

Beliau mewakili Presiden SPDP merangkap Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom.

Lebih 1,000 ahli dan penyokong SPDP menghadiri majlis tersebut turut diingatkan mengenai suasana politik yang dihadapi oleh parti-parti komponen BN hari ini adalah amat mencabar.

Apatah lagi, semua pemimpin dan parti-parti BN mempunyai tujuan sama iaitu mahu membangunan rakyatnya di seluruh pelosok negeri bagi mencapai taraf hidup lebih sempurna dan menikmati pembangunan lebih baik.

“Justeru, tugas kami sebagai pemimpin untuk memastikan supaya kemajuan dan pembangunan yang diberi kerajaan sampai kepada rakyat termasuk di Marudi dan Telang Usan sejajar dengan agenda BN membawa rakyat dan negerinya membangun mencapai Wawasan 2020,” katanya.

“Perjuangan kita sekarang ialah untuk pembangunan bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi juga anak, cucu kita pada masa hadapan.

“Justeru, tanggungjawab kita menyokong penuh kepemimpinan kerajaan dan negeri bagi memastikan sasaran dan matlamat pembangunan tersebut menepati kehendaknya,” ujar beliau.

Menurut Anyi, bukan sahaja masyarakat perlu memberi sokongan, generasi muda juga perlu memberi kerjasama baik agar daerah pedalaman seperti Baram dapat terus menerima pelbagai pembangunan kerajaan dengan lancar.

“Perjuangan kita dalam SPDP pula ialah terus memperkasa pembangunan di kawasan Baram, bukan sahaja bersama parti politik BN yang lain tetapi juga dengan pemimpin dan ahli-ahli BN lain demi merapatkan hubungan baik dan kerjasama antara kita semua.

“Perjuangan dalam SPDP adalah sama juga seperti perjuangan dalam parti-parti politik BN yang lain,” tambah Anyi.

Pada majlis tersebut, Anyi turut menerima lebih 500 pemohonan keahlian masuk ahli SPDP daripada Ketua Puteri SPDP Marudi, Josephine Duyuk Tuah.

Majlis itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian karaoke dan acara kemuncak Pertandingan ‘Ratu SPDP Pra Krismas 2013’ menyaksikan Jacqueline Gau dari Rumah Selat, Sungai Pasir memenangi gelaran tersebut.

Manakala naib johan dimenangi oleh anak gadis kacukan Kenyah/Iban iaitu Ivony Lawai dari Long Banga dan tempat ketiga jatuh kepada Sophia Tijan Philip, gadis Kayan dari Long Na’ah.

Dua pemenang hadiah sagu hati ialah Patricia Welma Nelson Munan dan Nur Safikah Zainal.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Kijan Toybee, Pengerusi SPDP Marudi Alexander Asing, Ketua Pergerakan Pemuda SPDP Robert Ayu, Putera SPDP Tonny Cheng, Ketua Wanita SPDP Marudi merangkap pengerusi pengelola, Theresa Gelang dan Pegawai Tadbir Marudi, Rose Edward Tarang.- theborneopost

No comments:

Post a Comment