Monday 30 December 2013

SAMM tidak berjaya hasut rakyat Sarawak

Che GuBard hanya mahu tunjuk kejaguhannya ajar anak muda Sarawak berpolitik

KUCHING: Kedatangan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ke Sarawak disifatkan cuba menghasut anak muda tempatan untuk menentang Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata Che GuBard yang merupakan penyelaras kebangsaan SAMM itu hanya mahu menunjukkan kejaguhannya untuk mengajar anak muda Sarawak berpolitik.

Malah, beliau menyifatkan kehadiran pemimpin SAMM itu tidak mendapat sambutan meriah kerana ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam hanya disambut beberapa ‘peminatnya’ sahaja.

“Baharu takluk negeri Selanggor pemimpin muda ini sudah berlagak sombong dan bongkak dengan orang Sarawak.

“Beliau berkunjung ke negeri ini tanpa halangan walaupun kita ada kuasa untuk menyekat beliau kerana secara terang-terangan kedatangan beliau adalah berniat untuk menghasut dan menimbulkan kekacauan.

“Setelah diberi peluang untuk menunjukkan kejaguhannya di Bumi Kenyalang ini seperti yang diduga ternyata populariti dan pengaruh pemimpin muda ini tidaklah sehebat mana kerana yang datang menyambutnya di Kuching hanya peminat beliau sahaja sebab beliau seorang yang comel bukannya penyokong tegar yang berani,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ketika diminta mengulas mengenai demonstrasi SAMM di hadapan kediaman Ketua Menteri yang tidak menjadi kenyataan semalam.

Pada masa sama Abdullah yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak memberitahu, usaha SAMM juga tidak mendapat sokongan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“PKR Sarawak sendiri telah membuat kenyataan untuk tidak menyokong niat mereka untuk berkelakuan kurang ajar di depan kediaman pemimpin Sarawak yang dipilih majoriti rakyat Sarawak,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa budaya politik sombong dan bongkak seperti itu tidak mendapat tempat di hati rakyat peribumi Sarawak yang sayangkan perpaduan dan keamanan. -

No comments:

Post a Comment