Tuesday 4 June 2013

Kerajaan Pusat ulangi komitmen selesai masalah jalan di Kapit, Belaga

BELAGA 3 Jun - Kerajaan Persekutuan melalui koordinasi dengan kerajaan Sarawak mengulangi komitmen untuk menyelesaikan masalah aksesibiliti di sekitar kawasan Kapit dan Belaga, justeru Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan Projek Jiwa Murni di dua kawasan tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, satu perbincangan antara beliau dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah diadakan berhubung perkara tersebut.

"Saya telah berbincang agar kepakaran Kor Jurutera diteruskan dalam Projek Jiwa Murni di dua kawasan tersebut. Dalam perbincangan itu, kita rancang agar jalan balak dari Sibu ke Kapit sejauh 300 hingga 400 kilometer dijadikan jalan biasa, bagaimanapun soil stabilizer perlu dilakukan terlebih dahulu di jalan balak itu.

"Selain itu kita juga akan meneruskan serta menaiktaraf Jalan Menjawa-Belaga yang sudah dimulakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)...bagi menyelesaikan masalah pengangkutan di kedua-dua kawasan tersebut," katanya di sini semalam.

"Saya harap koordinasi antara Kerajaan Pusat dan negeri berdasarkan beberapa langkah positif serta proaktif yang sedang dilakukan...Ketua Menteri juga telah menyatakan sokongan daripada kerajaan negeri," katanya.

Ahmad Zahid bagaimanapun mengakui tidak mudah untuk merealisasikan kedua-dua projek itu, terutama di Jalan Sibu ke Kapit kerana jalan balak itu merentasi gunung, hutan serta banyak sungai.

"Kita percaya kos tinggi diperlukan untuk kedua-dua projek ini dijalankan, namun Perdana Menteri amat prihatin dan menyatakan kesediaan yang beliau bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan sedaya upaya mencari peruntukan tambahan bagi memastikan jalan berkenaan dibina, dan dipertingkatkan serta dinaik taraf," katanya. - BERNAMA

1 comment: