Thursday 6 June 2013

Hayati tiga nilai asas - Abdul Taib

Oleh FARHANA JONI
utusansarawak@utusan.com.my

KUCHING 5 Jun - Semua pekerja bagi setiap organisasi harus menghayati tiga nilai asas iaitu integriti, prestasi kerja berkualiti dan ilmu pengetahuan bagi mewujudkan sebuah negara berprestasi tinggi.

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, para pekerja harus melihat dengan lebih luas skop integriti iaitu kepentingan organisasi, perkhidmatan dan negara mengatasi kepentingan diri sendiri.

Katanya, pekerja yang berintegriti bukan hanya menjauhkan diri daripada amalan-amalan rasuah dan penyelewengan wang organisasi malah mereka perlu sentiasa jujur dalam mentadbir serta mematuhi dasar-dasar negara.

"Pekerja hendaklah sentiasa berwaspada dan cermat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab serta peka terhadap akibat daripada sikap cuai ketika menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Prestasi kerja berkualiti pula mempunyai hubungan dengan mutu perkhidmatan yang diberi kepada pelanggan atau organisasi tanpa perlu mengaitkan dengan faktor masa," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis makan malam Seminar Pengurusan Organisasi anjuran Jabatan Canselori Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini malam tadi.

Teks ucapan tersebut dibacakan oleh Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Yang hadir sama, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan Menteri Muda Pelancongan negeri, Datuk Talib Zulpilip.

Mengulas lanjut, Abdul Taib berkata, kerja-kerja yang berkualiti dapat disempurnakan dalam tempoh masa yang singkat seiring dengan teknologi hari ini.

Katanya, para pekerja perlu memikirkan dua faktor dalam menentukan daya saing organisasi iaitu produktiviti dan kualiti yang kebanyakannya diamalkan oleh sektor swasta.

"Seterusnya, ilmu pengetahuan dalam kalangan setiap pekerja harus sentiasa dipertingkatkan agar mereka mampu menyumbang semula kepada organisasi.

"Secara ringkasnya, pekerja yang berilmu pengetahuan berupaya menyumbang kepada peningkatan prestasi organisasi sekali gus membantu negara menuju ke arah berpendapatan tinggi," katanya.-© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment