Friday 16 December 2011

8,000 guru sandaran mengeluh kontrak baharu membebankan

KUALA LUMPUR: Seramai 8,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mengeluh dan merayu kerajaan mempertimbangkan semula kontrak perkhidmatan baharu mereka yang dianggap membebankan termasuk perlu hadir di sekolah pada hari Sabtu dan Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak GSTT Shamil Nor berkata, penukaran daripada Kontrak Khidmat kepada Kontrak untuk Berkhidmat juga menghendaki guru berkenaan memulangkan semula perbezaan gaji yang telah diterima sejak bulan Oktober hingga Disember berjumlah RM3,476 setiap seorang.
“Kontrak yang baharu ini juga tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain perlu hadir di sekolah tujuh hari seminggu termasuk cuti umum, sungguhpun tiada sesi pembelajaran atau gaji dipotong,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Pemuda UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Beliau juga berkata, di samping itu kesemua mereka hanya dimaklumkan mengenai penukaran kontrak itu pada 10 Nov sedangkan kontrak ini telah berkuat kuasa pada 17 Okt.
“Walaupun kontrak yang baharu ini telah berkuat kuasa namun saya dimaklumkan terdapat Pejabat Pendidikan Daerah yang masih tidak memaklumkan perkara itu kepada guru sandaran di daerah mereka sedangkan esok (semalam) semua guru sandaran diminta menandatangani Surat Akujanji berhubung kontrak yang baharu itu,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Pemuda UMNO Datuk Megat Firdouz Megat Junid berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak Kementerian Pelajaran bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah itu. — Bernama

No comments:

Post a Comment