Wednesday 16 January 2013

Jalan akses untuk warga Baleh



TELITI: Manyin (kiri) dan Masing mendengar penjelasan daripada pegawai kanan JKR mengenai projek pembinaan jambatan Batang Baleh di Nanga Mujong di Kuching, semalam.


Projek jalan, jambatan di kawasan strategik ke Kapit siap dalam tempoh tiga tahun

KUCHING: Penggunaan perahu panjang oleh penduduk Baleh untuk ke bandar Kapit bakal berakhir apabila projek pembinaan jalan-jalan akses ke kawasan penting Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Kapit siap dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, projek-projek itu ialah jalan akses fasa satu ke Empangan Hidroelektrik Baleh melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 490 meter merentasi Batang Baleh di Nanga Mujong di Bahagian Kapit.

Beliau berkata, kos pembinaan jambatan itu ialah kira-kira RM77 juta dan dijadual siap dalam tempoh dua setengah tahun.

Manakala projek kedua, katanya, ialah pembinaan jalan raya kategori R3, sepanjang 18.2 kilometer dan empat jambatan yang merupakan fasa pertama jalan akses dari Sangan ke Kapit melalui kawasan lombong arang batu di Nanga Merit, Kapit.

Tender projek itu yang menelan kos kira-kira RM170 juta, katanya, telah diserahkan kepada syarikat kontraktor Trans Resources Corporation Sdn Bhd untuk disiapkan da-lam tempoh tiga tahun.

“Tapak (projek) telah pun diserahkan kepada kedua-dua kontraktor iaitu Samado Sdn Bhd untuk pembinaan jambatan dan Trans Resources Corporation bagi pembinaan jalan akses dari Sangan ke Kapit. Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada kadar segera,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU)di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kedua-dua kontraktor.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Muda Pembangunan Infra-struktur Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Pengarah Unit Perancang Negeri Datu Ismawi Ismuni dan Pengarah JKR Negeri Zuraimi Sabki.

Manyin menambah, untuk baki pakej jalan akses ke kawasan berkenaan, kementeriannya masih menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat dan pihak konsultan telah menyiapkan kerja-kerja asas.

“Saya berharap baki pakej dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun dan sebaik kerajaan negeri mendapat peruntukan bagi tujuan itu, tender terbuka akan dilakukan,” jelasnya.

Ditanya mengenai perkembangan projek pembinaan Jalan Sibu-Kapit, Manyin berkata sekurang-kurangnya RM400 juta diperlukan untuk membina jalan sejauh 33 kilometer menghubungkan Song dengan Kapit dan pembinaan jambatan di Kanowit.

“Jalan Sibu-Kapit-Kanowit adalah sepanjang 110 kilometer, namun wujud dua tempat yang terputus hubungan iaitu Jalan Song-Kapit sejauh 33 kilometer dan Sungai Kanowit.

“Perkara ini telah diajukan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Kuala Lumpur sebanyak dua kali.

“Jadi kita berharap akan mendapat jawapan positif kerana jika masalah ini tidak diatasi, pembinaan Jalan Sibu-Kapit tidak akan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” jelasnya sambil menambah, apabila masalah itu diatasi, maka orang ramai boleh ke Kapit dari Sibu dan dari Bintulu ke Kapit dan sebaliknya.

Sementara itu, Masing berkata, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan pusat atas peruntukan kira-kira RM250 juta bagi kedua-dua jalan akses itu yang akan membolehkan penduduk di kawasan Baleh pergi ke bandar Kapit menggunakan kenderaan darat.

“Dalam tempoh 30 bulan, kenderaan darat akan menjadi pengangkutan utama di kawasan saya menggantikan penggunaan perahu panjang. Terima kasih kepada kerajaan pusat dan negeri kerana merealisasikan keinginan rakyat di kawasan Baleh khas-nya,” katanya.

No comments:

Post a Comment