Wednesday, 16 January 2013

Penduduk pedalaman perlukan BN untuk maju


TERIMA KASIH: Aaron (lapan kiri) menerima cenderamata daripada Tuai Rumah Salang pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rantau Lugai, Kanowit.

Semua projek yang dipohon oleh penduduk di situ adalah melalui BN, kata Aaron

KANOWIT: Penduduk yang tinggal jauh di pedalaman hulu sungai di daerah ini memerlukan Barisan Nasional (BN) untuk maju, kata Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata, ini kerana semua projek yang dipohon oleh penduduk di situ adalah melalui BN.

“BN adalah payung kepada anda semua dan merupakan tonggak kepada kemajuan di negara ini dalam menaikkan taraf hidup rakyat.

“Setiap pembangunan di daerah ini adalah hasil usaha keras BN dan akan berusaha melaksanakan pembangunan di sini walaupun kadang-kadang menggunakan sumber kewangan terhad.

“Oleh itu, setiap pembangunan turut mengambil masa untuk dilaksanakan namun tetap ada,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Salang Manggau, Rantau Lugai, Kanowit di sini.

Perjalanan ke Rantau Lugai yang terletak jauh di pedalaman hulu sungai mengambil masa lebih lapan jam dari Kanowit dengan menggunakan perahu panjang.

Majlis itu adalah anjuran Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Kanowit dan Jabatan Penerangan Daerah Kanowit.

Lawatan Aaron selama tiga hari turut mengunjungi penduduk di kawasan Hulu Ngemah yang merangkumi penduduk di Rantau Lugai, Nanga Lakah, Lubok Tanjung, Nanga Sesama, Lubok Tutong dan Nanga Nirok.

Turut mengiringinya pada lawatan tersebut ialah Pegawai Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, Penghulu Ijau Tuah, Penghulu Ugak Sigai, Penghulu Ambrose Digat dan Penghulu Johnny Masam.

Aaron berkata, segala pembangunan insfrastruktur yang dilaksanakan di daerah ini adalah dipantau oleh kementerian persekutuan.

“Bukan senang untuk memajukan atau membangunkan sesuatu kawasan khususnya di kawasan seperti di hulu sungai kerana kita mempunyai sumber yang terhad.

“Bagaimanapun, BN tetap melaksanakannya secara berperingkat-peringkat. Oleh itu, tiada kerajaan lain selain BN yang boleh berperanan dan berkhidmat untuk rakyat,” tegasnya.

Mengenai projek Jalan Jagau-Ngungun sepanjang 25 kilometer yang menggunakan kos lebih RM100 juta, katanya, ia memerlukan masa disebabkan faktor muka bumi yang berbukit-bukau serta banyak anak sungai.

“Isu jalan ini sering dibangkitkan serta dipolitikkan oleh pihak pembangkang. Justeru, saya menasihati rakyat agar bersabar dan terus menyokong BN bagi menikmati pembangunan yang berterusan,” katanya.

Pada sesi itu, tiga tuai rumah iaitu Tuai Rumah Manggal Tukau dari Lubok Tanjung, Tuai Rumah Salang dan Tuai Rumah Jarau Manja dari Nanga Sibau bersama-sama memohon untuk mendapatkan projek hidro mini di situ bagi mendapatkan kuasa elektrik.

Ini kerana, penggunaan set jana kuasa (generator) selama ini di situ agak membebankan kerana faktor minyak dieselnya yang mahal dan kos pengangkutan juga mahal.

“Kos untuk membeli minyak diesel di pekan Kanowit sangat mahal kerana dari sini ke pekan itu memakan masa lapan jam dan menggunakan bergelen-gelen minyak perahu laju.

“Lagipun, sungai di sini sangat deras dan sesuai untuk mendirikan projek hidro mini. Jika ada bekalan elektrik, anak-anak pun senang untuk belajar ketika waktu malam dan banyak manfaat lain daripada projek itu kepada kami di sini,” kata mereka.

Bagi menjawab permintaan mereka itu, Aaron akan mempertimbang permintaan tersebut dan menggesa penduduk berkenaan supaya terus menyokong BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Jika diberi mandat sekali lagi pada PRU13 ini, saya menjamin bahawa permintaan anda ini (projek hidro mini) serta pembangunan lain akan dapat dilaksanakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment