Tuesday 4 December 2012

Lupakan hasrat tukar kerajaan


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Segelintir warga Malaysia yang mahu bereksperimen menukar kerajaan diminta melupakan hasrat tersebut, sebaliknya mereka perlu bersama-sama mempertahankannya demi masa depan negara lebih cemerlang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu amat penting kerana terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) komited memajukan negara ini, dalam masa sama membela nasib hidup rakyat melalui pelbagai program transformasi.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya program-program transformasi itu masih ada ruang untuk ditingkatkan, rakyat diminta bersama-sama membantu kerajaan supaya matlamat pelaksanaannya tercapai.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencetuskan pelbagai program transformasi dan tujuannya adalah untuk memajukan negara dan membela nasib hidup rakyat.

"Oleh itu, rakyat diminta bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakannya. Dalam masa yang sama hentikanlah sebarang hasrat untuk menukarkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun Arkib Negara Malaysia yang ke-55 bertemakan '55 tahun Arkib Negara Malaysia: Era Digital' di Arkib Negara di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf; Ketua Pengarah Arkib, Daresah Ismail dan Pengerusi Lembaga Penasihat Arkib, Nancy Syukri.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim semalam, bahawa cubaan segelintir rakyat di negara ini bereksperimen menukar kerajaan merupakan tindakan berbahaya dan akan memakan diri sendiri.

Tunku Abdul Aziz berkata, tindakan itu yang dilakukan hanya kerana termakan janji manis dan fitnah pembangkang, sekali gus mengakibatkan kerugian dalam jangka masa amat panjang

Sebelum ini, Rais pernah menegaskan, adalah berbahaya jika rakyat melakukan eksperimen menukar kerajaan tanpa membuat pertimbangan adil dan teliti.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian sedang meneliti mekanisme perundangan dalam usaha memastikan rakaman koleksi-koleksi sejarah serta peristiwa penting diserahkan kepada pihak Arkib apabila diminta.

Beliau berkata, koleksi tersebut sama ada yang disimpan oleh agensi kerajaan mahupun swasta.

"Setakat ini, kita belum dapat menentukan sama ada mekanisme perundangan ini memerlukan pindaan undang-undang atau tidak. Saya sendiri memerlukan input-input serta taklimat daripada semua pihak sebelum keputusan seterusnya diambil," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menghargai keupayaan pihak Arkib yang berjaya melakukan proses digital terhadap 126,299 bahan sejarah untuk tujuan rujukan.

"Usaha ini memerlukan komitmen yang begitu tinggi daripada semua pihak. Saya harap dalam kita menjadikan bahan-bahan ini dalam bentuk digital, yang asal juga perlu dipelihara," katanya.

No comments:

Post a Comment