Posted on January 16, 2012, Monday
MIRI: Meskipun kumpulan Wong tidak menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang pertama baru-baru ini, namun pintu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) masih terbuka untuk mereka pada bila-bila masa.
Presidennya, Datuk Seri Peter Chin menjelaskan bahawa pintu SUPP terbuka untuk mereka bagi terus memperjuangkan parti itu.“Sudah pasti pintu masih terbuka untuk kumpulan Wong dan kami memberi peluang kepada mereka untuk bekerjasama dan memperkuatkan lagi parti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo selepas merasmikan Majlis Penutupan Sukan Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muhibbah, Kuala Baram petang semalam.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Kaum Kampung Muhibbah Kuala Baram Nordin Yusof dan Pengerusi Rukun Tetangga Kuala Baram Mohd Azif.
Kumpulan Wong yang dimaksudkan ialah Dato Sri Wong Soon Koh, Datuk Lee Kim Shin, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Tiong Thai King, Dr Jerip Susil, Dr Johnical Rayong dan Ranum Mina.
Menurut Chin, beliau mahu SUPP kuat ketika berhadapan dengan pembangkang khususnya untuk Pilihan Raya Umum akan datang, termasuk mendapatkan keyakinan masyarakat Cina terhadap kepimpinan parti itu.
Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, apa yang penting ialah melakukan yang terbaik dan memastikan kemenangan berpihak kepada SUPP.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Chin mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan janji pihak pembangkang yang hanya mahu meraih undi tetapi tidak berusaha melaksanakan pembangunan untuk rakyat. “Apa yang pembangkang boleh bagi (beri) kepada rakyat? Pernahkah mereka melaksanakan projek pembangunan di kawasan anda atau memberikan bantuan pendidikan kepada rakyat?,” soal Chin.
Jelas Chin, apa yang dinikmati oleh rakyat masa kini termasuk rakyat di luar bandar adalah atas usaha dan bantuan daripada saluran betul iaitu melalui kerajaan Barisan Nasional (BN) . “Seperti yang anda lihat di kampung ini, pelbagai kemudahan dan projek telahpun dilaksanakan oleh kerajaan untuk keselesaan rakyat. “Oleh itu, saya berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pujuk rayu dan kata manis yang pembangkang lafazkan kerana itu hanya helah semata-mata,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment