Posted on January 16, 2012, Monday
MIRI: Kritikan dan tohmahan sama sekali tidak akan melunturkan semangat kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melonjakkan ekonomi negara khasnya kebajikan rakyat.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, kerajaan tidak berputus asa dan terus berusaha memastikan ekonomi negara berada di tahap yang stabil. “Jangan sesekali menafikan usaha kerajaan membawa perubahan kepada pembangunan. “Pelan yang dirancang oleh kerajaan telah menunjukkan impak yang bagus kepada ekonomi negara.“Contohnya, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kerajaan memperkenalkan pelan-pelan pembangunan untuk menggerakkan ekonomi negara,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Perniagaan dan Industri Cina (DPCI) di sini semalam.
Antara inisiatif yang diambil oleh kerajaan adalah memperkenalkan Model Baru Ekonomi (MBE) di mana ia diyakini mampu menjadi pemangkin dalam membentuk hala tuju ekonomi negara. Antara inisiatif yang dirangka dalam MBE termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang dijangka dapat meletakkan negara sebagai pesaing di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, rakyat dinasihati tidak terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan pihak-pihak tertentu yang mahu melihat usaha kerajaan ini gagal.
Menurut Chin, usaha kerajaan melalui ETP memberi banyak manfaatnya terutama untuk rakyat majmuk di negara ini.
Pertumbuhan ekonomi yang baik membenarkan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik, peluang kerja yang banyak dengan tawaran pendapatan yang tinggi. “Perubahan ini cukup penting. Jika sesuatu tidak dilakukan, kesannya amat besar kepada negara dan rakyat, tambahan pula tempoh masa untuk kita mencapai matlamat Wawasan 2020 semakin hampir,” ujarnya.
Mengulas tentang pembangunan Miri, Chin meminta sokongan dan kerjasama peniaga dalam merangka program pembangunan yang dapat mengukuhkan imej Miri sebagai bandar raya peranginan dan pelancongan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Miri turut berterima kasih kepada DPCI kerana merancakkan aktiviti perniagaan di sini sehingga mampu menaikkan nama Miri sebagai sebuah bandar raya pada 20 Mei 2005. “DPCI telah membantu mempromosikan Miri dengan menerbitkan buku panduan beli-belah, sumbangan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina dan menukar wajah pasar lama Miri serta pelbagai sumbangan lain,” jelasnya.
Chin berharap ahli-ahli jawatankuasa baharu yang dilantik akan terus memberi kerjasama kepada kerajaan khasnya Majlis Bandaraya Miri menjayakan program dan aktiviti yang dapat menaikkan nama Miri.
Hadir sama ialah Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin, Datuk Bandar Lawrence Lai dan bekas Pengerusi DPCI Datuk Sim Hock Guan.
No comments:
Post a Comment