Monday, 16 January 2012

Kerajaan jamin sedia peluang pekerjaan mencukupi

 

Posted on January 16, 2012, Monday

RASMI: Jabu melancarkan portal ‘Meruan Dikenang’ ketua-ketua masyarakat Miri sambil disaksikan oleh Lee (dua kiri), Pemanca Wilson Siang (tiga kiri) serta tetamu kehormat yang lain.

Kerajaan ada perancangan, strategi wujudkan peluang ekonomi dapat wujudkan peluang pekerjaan

MIRI: Kerajaan negeri memberi jaminan akan menyediakan peluang pekerjaan mencukupi untuk generasi muda negeri ini dengan memastikan mereka memiliki kerjaya sebaik tamat pengajian mahupun latihan dalam pelbagai bidang yang diceburi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata kerajaan sentiasa mempunyai perancangan dan strategi sama ada jangka pendek, jangka sederhana atau jangka panjang untuk mewujudkan pelbagai peluang ekonomi yang dapat mewujudkan tenaga kerja berterusan untuk generasi muda hari ini dan akan datang. “Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak atau SCORE merupakan salah satu koridor ekonomi paling berjaya yang telah menarik minat pelabur luar hingga sanggup melabur berbillion ringgit sekali gus mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor terutama tenaga mahir dan kejuruteraan,” katanya. “Saya amat optimis dan memberi jaminan dalam tempoh 15 tahun akan datang, Sarawak dengan kestabilan pemerintahannya akan menjadi negeri maju dengan ekonomi yang kukuh serta peluang pekerjaan yang banyak. “Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah ‘melaburkan’ anak-anak kita dalam bidang pendidikan agar mereka tidak ketinggalan dalam merebut peluang tersebut,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam ‘Meruan Dikenang’ atau ‘Jasamu Dikenang’ anjuran Ketua Masyarakat Miri Proper/Sub-urban di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi, Menteri Muda Komunikasi Datuk Lee Kim Shin serta pengerusi penganjur Pemanca Wilson Siang Lim.

Selain SCORE, Jabu berkata Sarawak bertuah kerana merupakan salah sebuah negeri yang begitu maju dalam industri minyak dan gas yang menyaksikan syarikat-syarikat minyak gergasi dunia seperti Shell, Murphy Oil, Nippon serta syarikat minyak negara Petronas, beroperasi di sini, sekali gus menyediakan peluang pekerjaan dan tenaga mahir serta profesional.

Mengenai tenaga mahir Sarawak yang banyak bekerja di luar negara terutama dalam kejuruteraan seperti di Rusia, Australia dan sebagainya, Jabu berkata kerajaan negeri melalui SCORE akan memastikan wujudnya peluang kerja mahir dan profesional yang menjanjikan gaji menarik untuk menarik golongan ini pulang dan bekerja di tanah kelahiran sendiri.

Beliau yakin dengan adanya kemudahan yang baik dan mencukupi, tidak mustahil untuk Sarawak menyediakan peluang-peluang kerja bagi tenaga mahir.

No comments:

Post a Comment