Posted on January 12, 2012, Thursday
PETALING JAYA: Individu yang akan menggantikan Datuk Dr Hasan Ali sebagai anggota exco kerajaan negeri Selangor akan ditentukan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata naib presiden parti itu Datuk Mahfuz Omar. Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam satu mesyuarat kepimpinan PAS tidak lama lagi. “Bila (mesyuarat) itu saya tak tahu. Tapi buat masa ini kita belum buat keputusan lagi. Surat (pemecatan) sudah dihantar kepada Hasan Ali,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Pada Ahad lepas, Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastrukur dan Kemudahan Awam Selangor dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, dipecat sebagai anggota PAS berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa bertindak melanggar kepen-tingan parti.
Mahfuz berkata, Hasan masih mempunyai peluang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS jika tidak berpuas hati dengan pemecatan beliau. Mengenai konvensyen pakatan pembangkang kali ketiga yang akan diadakan Sabtu ini di Kedah, Mahfuz berkata, perbincangan ketiga-tiga parti dalam pakatan itu terdiri PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat, kini lebih bertumpu kepada persiapan untuk pilihan raya.
“Kita menjangkakan bahawa paling awal Parlimen dibubarkan pada Februari selepas perayaan Chap Goh Meh manakala paling lewat kita rasakan pada Jun,” kata-nya. — Bernama
No comments:
Post a Comment