MIRI: Kaum minoriti di negeri ini menolak undian berasaskan kaum dan menegaskan tiada tempat untuk cadangan seumpama itu di negeri ini mahupun negeri jiran, Sabah, yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan etnik.
Exco Pemuda PBB yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau memberitahu demikian ketika membidas cadangan undi berasaskan kaum, yang diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, awal minggu ini.
“Kami, suku kaum minoriti di Sarawak amat bertuah untuk diwakili di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ini tidak akan berlaku jika cadangan mengundi berasaskan kaum dilaksanakan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut, semalam.
“Saya pasti cadangan itu tidak akan dapat dilakukan di negeri ini dan saya pasti kaum minoriti akan dipinggirkan dan terus tertinggal di belakang jika cadangan ini menjadi kenyataan,” katanya.
Menurut Dennis lagi, kerusi Parlimen Baram adalah contoh terbaik yang menyaksikan konsep perkongsian kuasa dan ia telah berjalan dengan baik di negeri ini yang memiliki pelbagai kaum dan etnik minoriti.
“Saya seorang Kayan dan mewakili (DUN) Telang Usan manakala Datuk Sylvester Entri (Muran) adalah kaum Iban yang mewakili DUN Marudi dan Ahli Parlimen kita di Baram ialah Anyi Ngau yang berketurunan Kenyah,” katanya.
Beliau berkata ini adalah contoh yang menunjukkan suara-suara minoriti didengar dalam badan penggubal tertinggi di peringkat negeri dan kebangsaan, sambil pada masa yang sama seorang lagi menteri penuh daripada etnik Orang Ulu, Kelabit iaitu Datuk Seri Idris Jala yang dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang juga Menteri Pembangunan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing juga melahirkan rasa tidak setuju dengan cadangan Shahidan itu.
Menurut Masing, pengundi harus mengundi calon yang terbaik dan bukannya berasaskan kaum dan agama mereka.
Dalam pada itu, pihak pembangkang turut mengkritik cadangan itu dengan memberitahu bahawa ia akan menjadi satu ‘penaklukan’ minoriti dan cenderung kepada dasar apartheid.
Kedua-dua parti komponen Barisan Nasional, MCA dan GERAKAN juga turut menyelar cadangan itu sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan tidak praktikal dalam konteks Malaysia yang bersatu padu.
Dalam pada itu, Shahidan ketika mengemukakan cadangan itu berkata beliau mengambil kira langkah ke arah memastikan perpaduan di Malaysia dan bukannya sistem pilihan raya yang ada sekarang, yang berdasarkan kerusi negeri dan Parlimen. - theborneopost