Wednesday, 11 September 2013

Kerajaan komited bela kebajikan Penan Murum



GEMBIRA: Liwan (dua kanan) dan Torstein (tengah) bersama penghuni Long Wat di penempatan baharu di Tegulang.
KUCHING: Seramai 89 ke-luarga dari Long Wat yang terjejas akibat Projek Hidroelektrik (HEP) Murum kini dipindahkan ke penempatan baharu di Tegulang kelmarin.

Hadir bagi membantu pemindahan mereka ke lokasi ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Liwan Lagang dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad Torstein Dale Sjotveit.

Penempatan baharu tersebut terletak di hulu Bakun dipilih oleh keluarga yang terjejas semasa proses Kajian Impak Sosial dan Alam Sekitar (SEIA) di samping mengambil mereka bekerja untuk membina penempatan tersebut.

Program penempatan tersebut turut disokong oleh Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah yang menghargai inisiatif proaktif para penduduk dan Jawatankuasa Pembangunan Kaum Penan Murum (MPDC) dalam me-lancarkan proses penempatan semula tersebut.

“Saya amat gembira melihat Sarawak Energy dan kerajaan negeri bersungguh-sungguh serta teliti dalam menjalankan penempatan semula ini.

“Kaum Penan Murum berhak mendapat sokongan dan saya yakin usaha penempatan semula ini telah mencapai kejayaan.

“Namun saya masih bekerjasama dengan penduduk di situ bagi menjamin janji-janji kerajaan ditepati,” ujar Liwan.

Sementara itu Torstein berkata, pihaknya sedar program penempatan semula tersebut merupakan langkah pertama bagi usaha seterusnya iaitu tanggungjawab sebagai jiran yang baik terhadap penduduk yang terjejas akibat projek tersebut.

“Dengan kerjasama kerajaan negeri, kami amat komited dalam menyokong penduduk Penan Murum dalam proses penempatan baharu mereka sehingga mereka mampu berdikari dari segi ekonomi,” jelas Torstein.

Pemindahan penduduk bermula dengan upacara keagamaan sebelum mereka meninggalkan kediaman lama di Long Wat di mana menurut bekas Penghulu Pao Tului, pemindahan tersebut bermakna mereka buat pertama kalinya akan menikmati kemudahan asas seperti bekalan air terawat, elektrik, dewan serba guna serta kemudahan moden yang lain.

Pau turut berkata para penduduk Long Wat juga amat teruja dengan pemindahan tersebut di mana mereka didapati sering melawat rumah masing-masing di samping menuai hasil tanaman mereka sebelum dibawa ke Tegulang.

Sementara itu Pengerusi MPDC Labang Paneh bersama keluarganya yang tiba di Tegulang kira-kira jam 3 petang merupakan antara keluarga yang pertama tiba di rumah baharu mereka termasuk bekas Pengerusinya Saran Joo yang tiba pada jam 7 malam.

Pada masa yang sama, Penghulu Long Malim Asan Along turut kelihatan di Tegulang bagi memberi sokongan kepada ahli keluarga Long Wat.

Menurut Asan, penduduk Long Malim kini sedang me-nunggu untuk dipindahkan ke Tegulang yang dijangka akan berlaku pada hujung bulan Oktober. - theborneopost

No comments:

Post a Comment