Tuesday 13 August 2013

Masih ada peluang selesai krisis SUPP secara baik

SIBU: Datuk Seri Wong Soon Koh percaya masih ada ruang untuk krisis dalaman Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diselesaikan secara baik selagi kedua-dua puak bertelagah komited terhadap usaha itu.

Ketua SUPP Bahagian Sibu itu juga berkata beliau tidak meragui keikhlasan dan komitmen Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin ke arah perdamaian kerana mereka berdua pernah membincangkan perkara itu pada 3 Jun lepas.

“Sayangnya perkara itu tidak dilakukan oleh pemimpin di bawahnya,” kata Wong pada sidang media sebagai mengulas laporan media semalam mengenai keyakinan Chin terhadap proses pendamaian itu, di sini.

Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat berkata tindakan itu jelas ditunjukkan oleh kumpulan terbabit yang merujuk enam Ahli Dewan Undangan Negeri SUPP yang menyokong beliau kepada jawatankuasa disiplin parti.

“Mereka juga beri surat tunjuk sebab kepada saya.

Ini jelas menunjukkan mereka tidak ikhlas ke arah usaha itu yang akan memperkukuh SUPP bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Wong berkata beliau percaya Chin memang mahu menamatkan krisis itu namun ‘tangannya terikat’.

“Buat masa sekarang jalan terbaik ialah menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan.

Kami sudah menunggu selama setahun lapan bulan.

Kami berharap akan mendengar keputusannya tidak lama lagi,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment