Friday 16 August 2013

Keputusan petisyen pilihan raya Sarikei 5 Sept

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 5 September depan bagi membuat keputusan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen Sarikei.

Petisyen pilihan raya Sarikei ini difailkan oleh calon Barisan Nasional (BN) Ding Kuong Hiing terhadap calon Parti Tindakan Demokratik, Wong Ling Biu yang memenangi kerusi terbabit.

Ding memfailkan petisyen itu bagi memohon keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Sarikei itu tidak sah dan batal.

Hakim Chew Soo Ho menetapkan tarikh itu bagi memberi masa kepada peguam bela pempetisyen, David Kuok bagi menjawab hujah tambahan yang dikemukakan oleh peguam pihak responden pada 12 Ogos lepas.

Terdahulu, Kuok memberitahu mahkamah yang beliau telah menerima hujah lain daripada pihak responden yang membangkitkan isu berhubung memfailkan petisyen pilihan raya itu dan bidang kuasanya.

“Surat ini bagaimanapun hanya dihantar kepada kami dan diterima pada pagi semalam (kelmarin),” ujarnya.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di bawah Seksyen 10(a), (c), (d), (e), dan (f) serta Seksyen 11(1)(b), Seksyen 32(a), 34(c), 35(a) dan (b) serta 36, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas, Ling Biu berjaya menewaskan Ding dengan majoriti tipis iaitu 504 undi.

Ding mendapat 13,758 undi manakala Ling Biu mendapat 14,263 undi.

Ling Biu diwakili oleh peguam Chong Siew Chang, Yap Hoi Leong, dan Wong King Wei. - 



No comments:

Post a Comment