Wednesday 27 June 2012

Sarawak perlu bajet besar


by Patricia Gari

SIAP SEDIA: Wan Ahmad (tengah) bersama Pengarah SPR Sarawak Datu Takun Sunggah dan Ahli SPR Datu Mohd Ramji Alli (kiri) menunjukkan buku Taklimat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya, semalam. — Gambar Bernama


KUCHING: Kerajaan memperuntukkan RM78 juta untuk Sarawak bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang, sekali gus negeri yang menerima peruntukan terbanyak berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara.

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar pada sidang media selepas merasmikan Taklimat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di sini, semalam.

Beliau berkata, 56.16 peratus daripada peruntukan itu digunakan untuk membayar sewaan logistik, 22.67 peratus bagi bayaran elaun atau makan minum Pegawai Pilihan Raya dan bakinya (17.58 peratus) untuk tuntutan elaun perjalanan.

“Jumlah peruntukan untuk Sarawak bagi PRU13 ialah RM78 juta daripada kira-kira RM300 juta peruntukan bagi seluruh negara dan Sarawak negeri menerima peruntukan terbesar meskipun hanya Pilihan Raya Parlimen diadakan di sini, berbanding di negeri-negeri lain di mana Pilihan Raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan serentak,” jelasnya.

Menurutnya, Sarawak memerlukan bajet lebih besar kerana keadaan geografinya lebih mencabar dengan terdapatnya pusat mengundi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses lengkap.

“Saya telah melawat hampir ke semua negeri dan Sarawak adalah negeri yang ke-12, dan mendapati bajet besar diperlukan kerana masalah logistik,” tambahnya.

Beliau memberitahu untuk PRU13, SPR akan menggunakan khidmat helikopter di 133 pusat mengundi di 15 kawasan Parlimen iaitu Santubong, Mambong, Batang Lupar, Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Tanjung Manis, Julau, Kanowit, Selangau, Kapit, Hulu Rajang, Baram, Limbang dan Lawas.

Setakat ini, katanya, SPR mengenal pasti 27 buah helikopter akan digunakan pada hari mengundi di Sarawak, selain 777 perahu, 53 bot laju, kereta pacuan empat roda (4,600) dan dua buah pesawat kecil.

“Adalah sangat mahal untuk melaksanakan pilihan raya, sebab itu kita sentiasa menasihati negeri terutama di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat supaya melakukan Pilihan Raya Parlimen dan DUN serentak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai persiapan SPR menghadapi PRU13 di Sara-wak, Wan Ahmad berkata, sebanyak 1,756 pusat mengundi dan 2,667 tempat mengundi (saluran) dibuka di 31 bahagian pilihan raya.

Ditanya mengenai tarikh PRU13, beliau berkata, ia terpulang kepada hak istimewa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang boleh dipastikan seka-rang ialah tempoh Parlimen akan ta-mat pada 27 April 2013. Pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen dan SPR tiada masalah kerana 60 hari itu masa yang cukup,” katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan musim tengkujuh yang melanda beberapa buah negeri seperti Sarawak, Terengganu serta Kelantan pada hujung tahun harus diambil kira.

“Terdapat 220 konstituensi Parlimen di seluruh negara dan setakat ini, terdapat 12.9 juta pengundi berdaftar di seluruh negara, manakala 1,026,676 jumlah pemilih di Sarawak setakat 31 Mac 2012,” katanya.

No comments:

Post a Comment