Tuesday 5 June 2012

Pemimpin harap SUPP terus maju

June 5, 2012, Tuesday


KUCHING: Ulang Tahun Ke-53 Parti Rakat Bersatu Sarawak (SUPP) menyaksikan detik yang paling sukar dalam perjalanan politik parti itu.

Beberapa pemimpin kanan dan lama parti itu melahirkan rasa kecewa dengan suasana politik ketika ini terutama di kalangan masyarakat Cina.

Pengerusi SUPP Cawangan Padungan Datuk Lily Yong ketika ditemui berkata beliau lebih selesa untuk membisu jika diberi pilihan.

Tetapi katanya pada upacara menaikkan bendera di pejabat cawangan Padungan pagi semalam, beliau terharu dengan kehadiran ahli-ahli lama dan baharu pada majlis penuh bermakna itu.

“Ia agak senyap sejak akhir-akhir ini mungkin kerana saya tidak ada di sini. Tetapi apabila mereka hadir pada upacara pagi ini saya dapat rasakan kehangatannya, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ucapara menaikkan bendera SUPP di pekarangan ibu pejabat parti itu semalam.

Tambahnya: “Saya rasa sedih dan kecewa dengan suasana politik terutama politik kaum Cina ketika ini.

“Ini adalah detik yang paling sukar kepada kami. Pemimpin seperti kami telah berusaha sedaya upaya untuk menangani situasi ini.”

Ditanya mengenai harapan terhadap SUPP selepas 53 tahun penubuhannya, beliau berkata sudah pasti sebahagian daripada mereka mahu melihat SUPP terus maju dan berdiri untuk tempoh 50 tahun lagi.

“Kami mahu semua orang berdiri semula dan mahu melihat parti ini terus berdiri teguh untuk tempoh 50 tahun lagi,” katanya.

Sementara itu Pengerusi SUPP Cawangan Kota Sentosa Datuk Alfred Yap berharap SUPP akan dapat meraih semula keyakinan daripada rakyat pada masa akan datang.

Ditanya mengenai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Yap berkata jentera SUPP perlu bekerja keras untuk itu.

“Kami perlu mendekati rakyat dan menjelaskan kepada mereka situasi sebenarnya dan berapa banyak kami boleh lakukan untuk mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment