Friday, 13 January 2012

Parlimen Sarikei tumpu naik taraf jalan kecil di luar bandar tahun ini




SARIKEI: Tumpuan untuk menaik taraf jalan-jalan kecil, terutama yang menghubungkan kawasan perkampungan, rumah panjang dan sekolah di luar bandar merupakan sasaran utama yang akan digiatkan oleh jentera Parlimen Sarikei pada tahun ini.
Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing berkata, usaha ini merupakan kesinambungan terhadap usaha-usaha yang telah dijalankan selama ini, tetapi pada tahun ini perkara tersebut akan diberikan penekanan yang lebih khusus lagi. “Semua usaha yang kita jalankan ini adalah untuk memastikan masyarakat di kawasan luar bandar turut mendapat kemudahan yang setaraf dengan masyarakat di kawasan bandar amnya. “Kepada masyarakat luar bandar, saya ingin mengingatkan agar mereka tidak mudah terpedaya dengan mana-mana propaganda yang dicanang oleh setengah pihak dengan menyatakan bahawa masyarakat luar bandar ditinggal dan dipinggirkan daripada arus pembangunan. “Kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah kerajaan yang sangat mementingkan perkembangan rakyatnya serta sentiasa berjuang untuk rakyat. ‘Oleh yang demikian sebagai rakyat yang berterima kasih dan mengenang budi mereka haruslah memberi sokongan yang padu kepada pemimpin dan kerajaan sekarang,” kata Ding.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melakukan lawatan kerja ke beberapa lokasi dekat sini, kelmarin.
Dalam lawatannya ke Rumah Nasat Ramping di Jalan Garan, Nam Kiew, Sarikei untuk memantau jalan konkrit sepanjang satu kilometer yang baharu siap dibina pihak kontraktor baru-baru ini, beliau turut melahirkan rasa puas hati terhadap kualiti pembinaan jalan terbabit. “Saya berharap mana-mana kontraktor yang telah dilantik untuk melaksanakan projek terutama yang melibatkan kepentingan masyarakat, lebih mengutamakan kualiti pada setiap kerja yang dilakukan,” katanya.
Pada hari tersebut juga, beliau turut melawat sebuah jambatan kayu yang menjadi penghubung utama bagi penduduk dari kawasan Jalan Garan yang telah mulai retak dan mengalami beberapa kerosakan berikutan faktor usia.
Dalam kunjungannya tersebut, Ding berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah tersebut dengan seberapa segera.

Sementara itu pada hari yang sama juga, beliau dan rombongannya turut melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Tak yang berada di kawasan yang sama.

Dalam lawatan tersebut, pihak sekolah terbabit telah memohon daripada pihaknya untuk menaik taraf laluan letak kereta bagi sekolah terbabit dan menaik taraf jalan sepanjang 0.6 kilometer dari simpang jalan besar menuju ke sekolah terbabit.

Pada masa, Ding turut mengumumkan pemberian cek bernilai RM3,000 bagi sekolah terbabit untuk kegunaan menaik taraf laluan letak kereta, manakala bagi permohonan untuk menaik taraf jalan, pihaknya akan mengemukakan usul tersebut untuk dibincang dan dipertimbangkan untuk penyelesaian masalah.

No comments:

Post a Comment