Wednesday 22 January 2014

SUPP hantar surat rasmi kepada ROS

Beliau belum mengadakan sebarang perbincangan dengan ketua-ketua cawangan SUPP di negeri ini.

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mengemukakan surat jawapan rasmi dalam tempoh 30 hari kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung isu pembatalan dua cawangan SUPP di Piasau dan Bekenu.

Setiausaha Agung SUPP Prof. Sim Kui Hian (gambar) berkata, ROS menyatakan mengirim surat pembatalan dua cawangannya pada 6 Januari tetapi hanya diterima pihaknya (SUPP) pada 8 Januari 2014.

Sehubungan itu, beliau belum mengadakan sebarang perbincangan dengan ketua-ketua cawangan SUPP di negeri ini, kerana sibuk menubuhkan pasukan undang-undang berhubung perkara berkenaan.

“SUPP akan memberi jawapan rasmi kepada ROS dalam tempoh yang ditetapkan (30 hari). SUPP juga berharap ROS dapat memberi jawapan balas mengenai perkara sama kerana apabila melibatkan parti politik, ia tidak pernah menerima jawapan balas segera,” katanya.

Justeru, kata Sim, perkara pokok kini adalah berbincang dengan barisan kepimpinan dan ahli parti mengenai kedudukan parti berhubung perkara tersebut kerana sekiranya parti terus mendiamkan diri, ahli-ahli akan berpendapat bahawa parti melakukan sesuatu yang salah.

“Kita tidak mahu bercakap perkara ini dengan pihak media kerana sebaik sahaja menerima surat daripada ROS pada minggu lalu, kita terus menubuhkan pasukan undang-undang tersebut.

“Tidak lama lagi Tahun Baru Cina pula akan menjelang, maka, banyak kerja harus diselesaikan segera terutamanya dari segi maklumat yang diperlukan oleh peguam-peguam yang dilantik,” jelasnya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat SUPP selepas mempengerusikan mesyuarat bersama lima wakil cawangan SUPP.

Oleh itu, beliau mengesa semua pemimpin parti untuk terus berkhidmat kepada rakyat kerana masalah berhubung surat berkenaan pasti akan diselesaikan.

Sim juga berkata, individu yang ingin memberi nasihat berhubung dengan masalah yang berlaku dalam parti agar terus berhubung dengannya bukan membuat kenyataan terbuka dalam media.

“Adakah mengadakan sidang media dan memberi kenyataan secara terbuka adalah untuk orang awam atau untuk parti, kerana bukan semua di luar sana ahli parti SUPP.

“Kenapa tidak datang kepada saya sebaliknya bercakap dengan pihak media? Adakah anda bercakap kepada orang awam atau bercakap dengan saya sebenarnya?,” soal Sim sambil memberitahu pihak berkenaan mungkin mempunyai agenda tersendiri.

Menurutnya, setakat ini beliau belum pernah menolak sesiapa yang ingin bertemu dengannya dan pihak yang ingin memberi ‘nasihat’ kepadanya sangat dialukan.

Sim juga berkata, surat rayuan akan dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri untuk pertimbangan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, meskipun cawangan SUPP di Bekenu dan Piasau dibatalkan namun semua ahlinya masih ahli SUPP yang sah.

“Seseorang itu bukan lagi ahli parti sekiranya, dia meninggal dunia, dibuang parti atau keluar dari parti,” tegasnya. - FMT Staff

No comments:

Post a Comment