Wednesday 13 February 2013

SPDP tidak gentar dengan kewujudan STAR di Mas Gading

MICHAEL (Gambar)

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) tidak gentar dengan kewujudan Parti Reformasi Sarawak (STAR) di kawasan Parlimen Mas Gading.

Menurut Pengerusi SPDP Tasik Biru Michael Siten, sebaliknya parti lebih tergugat dengan Kelab BN dan parti pembangkang seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) berbanding STAR.

Ini kerana katanya, Kelab BN dianggotai Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe dan Menteri Muda (Pembangunan Perindustrian dan Perkhidmatan Komuniti) Datuk Peter Nansian Ngusie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru.

“Kita merasakan ia satu cabaran bagi kita (SPDP) sekiranya Dr Tiki bertanding pada Pilihan Raya Umum memandangkan beliau merupakan penyandang kerusi tersebut manakala Nansian adalah seorang menteri muda… sudah tentu masih ramai rakyat yang masih mendengar kata mereka,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Michael berkata, bagaimanapun beliau yakin sokongan terhadap Dr Tiki dan Nansian akan berkurangan apabila tempoh berkhidmat mereka tamat kelak.

Beliau turut melahirkan kepercayaan bahawa pembangkang akan meletakkan calon DAP, Mordi Bimol di kerusi tersebut memandangkan Willie Boniface daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih berminat kerusi DUN Tasik Biru.

Beliau juga tidak menafikan DAP bergerak secara agresif di kawasan tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai lokasi pusat khidmat STAR yang terletak bersebelahan dengan pusat khidmat Kelab BN, Michael memberitahu ia berkemungkinan secara kebetulan semata-mata.

“Berkemungkinan hanya lot kedai itu sahaja yang kosong, kerana saya rasa Nansian masih tidak dapat bersemuka dengan beberapa individu dalam STAR.

“Bagaimanapun secara keseluruhannya saya rasa perebutan kerusi Mas Gading hanya membabitkan BN dan pembangkang,” katanya.

SPDP dijangka akan mempertaruhkan Anthony Nogeh, 56, yang merupakan timbalan pengurus besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) sebagai calon di Mas Gading.

Beliau yang turut hadir pada sidang media semalam bagaimanapun enggan mengulas apa-apa berhubung perihal Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bakal menjelang.

Manakala Setiausaha Pemuda SPDP Khairuddin Abdul Kadir memberitahu, jentera di kalangan Pemuda telah bersedia menghadapi PRU13.

“Walaupun kami telah lama bergerak turun padang, namun kami kurang menonjol (di akhbar) berbanding DAP tetapi ia tidak mengapa asalkan rakyat tahu kami memang bekerja,” katanya.

No comments:

Post a Comment