Tuesday 29 May 2012

KKLW bina 2,000km jalan di luar bandar

 Posted on May 29, 2012, Tuesday
Shafie: Sasaran semua rakyat di pedalaman dihubungkan dengan rangkaian jalan raya

BANTING: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yakin mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membina jalan raya sepanjang 3,000km di kawasan luar bandar menjelang hujung tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, keyakinan itu berdasarkan kejayaan kementerian membina jalan raya sepanjang 2,000 kilometer sehingga ini yang melepasi jadual sasaran awal.

“Kita berhasrat memastikan semua rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan luar bandar dihubungkan dengan pelbagai rangkaian jalan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Pemakanan Sihat dan Program Mesra Rakyat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kuala Langat di Padang Sekolah Kebangsaan Jalan Tanjung di sini semalam.

Beliau berkata, kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak banyak menerima peruntukan bagi tujuan pembinaan jalan raya.

Mohd Shafie berkata, sasaran untuk membina sebanyak 50,000 buah rumah bagi golongan miskin di seluruh negara juga hampir mencapai sasaran.

Setakat ini, katanya, sebanyak 39,000 buah rumah telah siap dibina dan sedia untuk diduduki oleh golongan tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie mengumumkan peruntukan kira-kira RM2.8 juta untuk digunakan bagi tujuan pembangunan di sekitar kawasan Kuala Langat.

Daripada jumlah itu, RM40,000 akan digunakan untuk melaksanakan Program Bantuan Rumah, membina jalan perhubungan desa di kawasan Sijangkang (RM200,000),

Jalan Sekolah Kebangsaan Jalan Tanjung (RM100,000) dan RM2.5 juta untuk projek bekalan air di daerah Kuala Langat. — Bernama

No comments:

Post a Comment