Saturday 26 May 2012

DAP diingat tidak campuri urusan BN


Posted on May 25, 2012, Friday


KUCHING: Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof mengingatkan DAP agar tidak masuk campur dalam hal ehwal Barisan Nasional (BN).

Sambil menyifatkan tindakan Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen mempersoalkan tempoh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, beliau berkata adalah lebih elok jika parti pembangkang menjaga ‘rumah tangga’ sendiri.

“Jangan kacau rumah tangga orang lain. Kami di PBB dan BN akan menentukan siapa yang bakal memimpin kami sendiri.

“Kepada ADUN Kota Sentosa (Chong), bila pula presiden atau penasihat DAP akan menyerahkan kuasa kepada yang muda?,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau menegaskan, pemimpin DAP tidak perlu mengalihkan perhatian terhadap apa yang berlaku di luar parti mereka, sebaliknya mereka harus menyelesaikan masalah sendiri terlebih dahulu.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pemimpin dan ahli PBB telah menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Taib dalam kerajaan dan parti.

Katanya, sokongan mereka bukan sekadar mengambil kira jasa, pengalaman serta kewibawaan Taib, tetapi juga atas komitmen serta wawasan dalam membangunkan Sarawak.

“Bila beliau mahu berundur itu adalah terpulang kepada Yang Amat Berhormat sebab beliau lebih mengetahui bila tarikh sesuai untuk beliau serahkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata BN mempunyai cara sendiri dalam menguruskan hal dalamannya.

Begitu juga hak Taib sebagai Ketua Menteri yang telah memperoleh mandat daripada rakyat, justeru pembangkang tidak berhak untuk mempersoalkannya.

“Siapa itu Chong untuk bertanya begitu?,” katanya sambil menambah, ia mencerminkan kebiadapan dan keangkuhan pemimpin pembangkang.

Chong pada Rabu bertanya kepada Taib bila beliau akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri dalam sesi penggulungan hujah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri.

Taib menegaskan beliau berhak untuk tidak memaklumkan mengenai rancangan persaraannya kepada pembangkang.

No comments:

Post a Comment