Monday, 16 January 2012

SPDP sahkan keahlian empat anggota parti ditamatkan

 

KUCHING 15 Jan. - Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) hari ini mengesahkan telah menamatkan keahlian empat anggota Kumpulan SPDP 5 daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Presidennya, Tan Sri William Mawan Ikom yang mengumumkan perkara itu berkata, kini kumpulan pemimpin terbabit bukan lagi bernaung di bawah payung SPDP mahu pun Barisan Nasional (BN) secara amnya.

''Hasil mesyuarat Majlis Tertinggi parti telah sebulat suara mengesahkan empat wakil rakyat dari kumpulan SPDP 5 ini ditamatkan keanggotaan sebagai ahli parti berkuat kuasa hari ini dan kami hanya mampu mengucapkan yang terbaik bagi mereka selepas ini.

''Saya mengakui agak sukar mengambil keputusan ini memandangkan ia adalah untuk mengelak anggota parti di peringkat akar umbi serta rakyat terkeliru dengan kedudukan mereka dalam BN ketika ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP, di sini hari ini.

Empat anggota yang ditamatkan keahlian itu ialah bekas Naib Presiden Kanan SPDP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie; ADUN Bekenu, Rosey Yunus; ADUN Batu Danau, Paulus Palu Gumbang dan Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr. Tiki Lafe.

Sebelum ini, ADUN Marudi yang juga bekas Naib Presiden SPDP, Datuk Sylvester Entri telah dipecat daripada parti itu atas kesalahan menentang parti.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial negeri memberitahu, keputusan itu pasti membuka lembaran baru kepada SPDP dalam merencanakan strategi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tumpuan utama parti ketika ini adalah usaha untuk memberi nafas baru kepada keanggotaan dalam Majlis Tertinggi SPDP selain memperkemaskan jentera parti sebelum menjelang pilihan raya umum.

''Sehubungan itu, kita akan mengadakan Perhimpunan Agung Tiga Tahun Sekali (TGA) SPDP pada 17 Mac depan di Bintulu selain merancang pelbagai program melibatkan parti itu sepanjang tahun ini," ujarnya.

Sementara itu, mengenai rancangan kumpulan terbabit menubuhkan Kelab BN di konstituensi masing-masing, Mawan secara sinis memberitahu, sesiapa sahaja boleh berbuat demikian sama ada di dalam mahu pun luar negara.

''Saya sendiri pun tidak begitu arif mengenai kelab ini dan sekiranya ia tidak selari dengan perjuangan BN, maka ia pasti mencetuskan ketidakstabilan dalam BN kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment