Friday, 3 August 2012

Laporan lima calon ganti Sagan hanya spekulasi

MIRI: Laporan sebuah akhbar nasional bahasa Inggeris mengenai nama lima calon bagi konstituensi Parlimen Baram menggantikan penyandangnya, Datuk Jacob Dungau Sagan adalah penulisan berdasarkan khabar angin semata-mata.

Pengerusi Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Telang Usan Romulus Charles Agan Raja berkata, pihak media harus meneliti sama ada ia fakta atau sebaliknya sebelum menyiarkan sesuatu.

“Janganlah keluarkan sesuatu yang berbentuk khabar angin (rumours) kerana semua orang akan baca, itu (laporan) adalah tidak benar sama sekali,” katanya ketika ditemui di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Miri tengah hari semalam.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha SPDP Negeri berasa sangat kesal dengan laporan akhbar berkenaan yang ditulis tanpa usul periksa terlebih dahulu.

“Nama Datuk Jacob sudah dihantar kepada pihak atasan untuk menjadi calon Parlimen Baram, nama beliau adalah calon boleh menang (winnable candidate),” jelasnya.

Romulus pada masa sama memberitahu bahawa perkhidmatan wakil rakyat berkenaan yang juga sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, masih diperlukan di konstituensi terbabit.

Sementara itu, Sagan sendiri turut menyatakan rasa kecewa beliau dengan penulisan akhbar berkenaan.

“Ia (berita) memberikan kesan terutama kepada peringkat akar umbi sama ada dalam parti atau rakyat,” ujarnya.


Isu hudud bukan modal untuk kalahkan pembangkang, kata Chong

KUCHING: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai, silap jika menganggap Barisan Nasional (BN) dapat menewaskan pembangkang dengan menggunakan isu undang-undang hudud.

Bercakap pada sidang akhbar semalam, beliau berkata DAP sama ada pada peringkat negeri mahupun kebangsaan tidak akan menyokong undang-undang hudud.

Malah beliau memetik kenyataan ‘langkah mayat saya dahulu’ oleh seorang pemimpin kebangsaan DAP berhubung pelaksanaan undang-undang hudud.

“Pemuda SUPP mencabar kami untuk membuat pendirian mengenai undang-undang hudud, kami menyatakannya dengan jelas dan sekali lagi bahawa kami menentangnya.

“Penasihat DAP Lim Kit Siang, semasa satu perhimpunan PAS (Parti Islam Se-Malaysia) di hadapan seribu penyokong, mengumumkan bahawa kami tidak menyokong pelaksanaan undang-undang hudud.

“Tindakan Pemuda SUPP untuk memberi tumpuan kepada isu yang begitu abstrak merupakan strategi mereka untuk cuba menakutkan dan mengelirukan rakyat,” katanya di ibu pejabat DAP di sini.

sumber:theborneopost

Wednesday, 1 August 2012

Orang Ulu dinasihat sokongBN demi pembangunan

KAPIT 30 Julai - Masyarakat orang Ulu di kawasan Parlimen Hulu Rajang dinasihatkan terus menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan.

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Billy Abit Joo berkata, pendirian itu perlu dijadikan pegangan rakyat walaupun bayangan calon sebenar yang akan mewakili BN di kawasan itu belum diketahui.

"Apa yang kita harapkan ialah untuk terus menikmati arus pembangunan, jadi rakyat di kawasan ini hendaklah kekal menyokong BN.

"Kita belum pasti siapa calon BN di sini kerana semua itu bergantung kepada pemimpin tertinggi, yang penting adalah peranan kita sebagai rakyat bagi memastikan kawasan kita terus maju," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mesin padi, mesin getah dan bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Uma Bakah, Sungai Asap, Belaga di sini semalam.

Sempena majlis tersebut, seramai 820 orang menerima BR1M di bawah kelulusan Khas Pribumi Sarawak untuk Rayuan BR1M, Seramai 145 daripadanya adalah penduduk Uma Bakah.

Sementara itu, ketika mengulas berita bahawa beliau akan digantikan calon muka baru pada pilihan raya umum akan datang, Billy Abit berkata, selagi masih menjadi wakil rakyat, beliau akan tetap meneruskan khidmat kepada rakyat.

"Saya akan meneruskan perjuangan politik sehingga saya sendiri membuat keputusan untuk mengundur diri.

"Berdasarkan sokongan pada masa ini, saya yakin mampu menang dengan majoriti yang lebih baik sekiranya dicalonkan," katanya.

Bendera politik 'tenggelamkan' Jalur Gemilang


HARI ini genap 10 hari umat Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Syukurlah kita dapat menjalani ibadah di bumi merdeka ini dalam suasana yang penuh aman damai serta dilimpahi rezeki. Jelaslah umat Islam di negara kita lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa berpuasa atau menjalani ibadah pada bulan yang mulia ini dengan penuh cabaran dan dugaan. Seperti diselak minggu lalu, ada umat Islam yang terpaksa berpuasa dalam suasana perang, bencana alam, tempoh berpuasa yang panjang dan sebagainya. Tetapi di negara ini, kita bebas melakukan ibadah sama ada pada waktu siang dan malam. Ramadan juga membawa rezeki melimpah ruah. Kakitangan kerajaan dapat bonus raya, pesara juga mendapat 'habuan' untuk beraya, peneroka Felda juga dapat duit raya, malahan mereka yang kurang berkemampuan turut mendapat pelbagai bantuan. Ramai juga yang berpeluang berniaga di bazar-bazar Ramadan. Anak-anak yatim juga mendapat bantuan sewajarnya. Mereka dijemput berbuka puasa di hotel bertaraf empat atau lima bintang serta dibawa membeli pakaian baru untuk berhari raya.

Semuanya ini tidak mungkin dinikmati sekiranya negara kita mundur dan kucar-kacir. Maka kita boleh dianggap sebagai umat yang bertuah. Inilah nikmat hasil kemerdekaan negara yang tercinta ini. Justeru pertahankan kemerdekaan yang akan mencecah usia 55 tahun. Hargai apa yang sedang dinikmati. Menyentuh soal kemerdekaan, lusa, 1 Ogos kita memasuki bulan kemerdekaan. Pada masa yang sama, umat Islam juga sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijadualkan pada minggu ketiga bulan depan.

Bagi meraikan ulang tahun kemerdekaan kali ke-55 ini, kerajaan telah melancarkan Bulan Kemerdekaan dengan program Kibar Jalur Gemilang pada 17 Julai lalu. Bagaimanapun belum nampak tanda-tanda kemeriahan menyambut ulang tahun kemerdekaan melalui kibaran Jalur Gemilang. Mungkin masih ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat atau mereka sibuk dengan persediaan untuk menyambut hari raya. Mungkin juga terlalu awal kerana sambutan sebenarnya masih jauh.

Jalur Gemilang tenggelam di tengah-tengah keghairahan parti politik mengibarkan bendera parti. Jumlah Jalur Gemilang boleh dibilang dengan jari. Di sesetengah tempat, ada bendera parti sehingga 'menyembah' bumi ditiup angin kencang. Begitulah meriahnya parti politik mengibarkan bendera parti disebabkan keghairahan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perang bendera politik lebih rancak. Justeru, sementara menunggu PRU-13 yang masih menjadi teka-teki, eloklah tumpuan diberikan kepada kibarkan Jalur Gemilang.

Mungkin ada yang berkata, apa ada pada bendera. Tetapi bagaimana pula dengan bendera politik? Apakah tujuan bendera parti dikibarkan? Alangkah baiknya jika pekerja parti politik yang menjalankan tanggungjawab memasang bendera sama ada di tiang lampu atau sanggup memanjat hingga ke pucuk pokok kelapa dapat menyelitkan sama Jalur Gemilang. Berapalah sangat harga sehelai Jalur Gemilang. Tidak perlulah menunggu bendera percuma. Semarakkanlah sambutan hari kemerdekaan ini dengan kibaran Jalur Gemilang sama ada di rumah, pejabat atau di sekitar kampung dan taman perumahan. Mungkin dalam keghairahan menghiasi rumah menjelang Aidilfitri ini, masukkan unsur-unsur hari kemerdekaan di sekeliling rumah kita. Pastinya kita akan melihat ada dalam kalangan rakyat yang akan mengecat bumbung rumah mereka dengan Jalur Gemilang dan pelbagai kreativiti lain untuk menceriakan kawasan rumah mereka menjelang hari raya nanti.

Suasana tentunya lebih ceria dengan rumah yang dihiasi lampu berwarna warni atau pelita minyak tanah diselitkan pula dengan Jalur Gemilang. Selain kediaman dan bangunan milik kerajaan dan swasta, kibaran Jalur Gemilang juga kurang kelihatan di kenderaan. Adakah pemilik kenderaan juga menantikan Jalur Gemilang percuma? Kalau dapat....kibarkan, kalau tak dapat...tak apa, biar orang lain kibarkan.

Diharapkan menjelang pertengahan bulan depan, kibaran Jalur Gemilang akan lebih rancak. Kepada parti politik, apa kata kita berhari raya dulu kemudian sambut perayaan ulang tahun kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang, dan kemudian barulah memikirkan soal pilihan raya. Janganlah pula kerana tema sambutan kali ini menyebabkan parti pembangkang tidak ada mood untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Serian kawasan putih untuk Barisan Nasional: Riot

KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem semalam berkata konstituensi itu merupakan kawasan putih untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Serian adalah kawasan putih. Saya berani katakan begitu,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri majlis Kursus Asas Teknologi Tanaman Koko dan Penyerahan Insentif Program Tanaman Baharu Koko dan Lada bagi bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian, kira-kira 60 kilometer dari sini, semalam.

Riot yang juga Menteri Luar yang dipilih sebagai Timbalan Presiden semasa Persidangan Delegari Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Disember tahun lepas bagaimanapun berkata sama ada beliau akan dicalonkan semula atau sebaliknya terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat untuk membuat keputusan.

“Sama ada saya akan dicalonkan semula atau tidak saya serahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

“Namun sebagai Timbalan Presiden parti saya tahu apa yang berlaku kerana kami baru sahaja mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) minggu lepas dan kami telahpun menghantar senarai calon kepada PM,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau tidak memberitahu sama ada namanya tersenarai dalam senarai calon itu walaupun spekulasi hangat mengaitkan beliau akan mengekalkan kerusi Bidayuh itu untuk sepenggal lagi.

Waspada pengaruh PR: Fadillah

by Mahathir Haroun. 


KUCHING: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu lebih berwaspada dengan pengaruh Pakatan Rakyat (PR)yang menyebabkan segelintir daripada mereka sanggup meninggalkan parti pemerintah.

Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof berkata, tindakan mereka keluar daripada parti komponen BN dan menyertai PR berkemungkinan besar akan menyebabkan mereka disisih.

Menurutnya, ini kerana ada di kalangan pelopor penubuhan PR telah meninggalkan parti pembangkang itu kerana tidak mendapat hak mereka.

“Daripada terpengaruh dengan janji PR sehingga sanggup keluar BN, lebih baik mereka terus berjuang untuk rakyat bersama panji parti pemerintah,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan dua Ahli Parlimen dari Sabah meletak jawatan dalam kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Lajim Ukim meletak jawatan dalam UMNO dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Bamburing melepas jawatan sebagai Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan, dua pemimpin tersebut sepatutnya tidak mengambil langkah terburu-buru untuk keluar daripada parti komponen BN.

“Masa akan menentukan, kalau pelopor PR dan orang yang bermatian memperjuangkan pemimpin mereka boleh meninggalkan parti pembangkang itu, tidak hairan suatu hari nanti dua pemimpian ini akan disisih.

“PR tidak memberi sebarang jaminan kepada kedua-dua pemimpin ini,” ujarnya.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan tidak memberi kesan mendalam kepada perjuangan BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Jangan terpengaruh hasutan pembangkang: Dr Rayong

ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa menasihati rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang kerana ia amat membuang masa dan tidak mendatangkan hasil kepada pembangunan hidup diri sendiri.

Menurutnya, pembangunan yang rakyat nikmati pada ketika ini adalah hasil sokongan berterusan penduduk kepada kerajaan dan bukannya kepada parti pembangkang.

Sehubungan itu beliau ber-harap rakyat meneruskan sokongan padu mereka kepada kerajaan demi kesinambungan pembangunan dalam kawasan masing-masing pada masa akan datang.

“Sehubungan itu berilah sokongan padu terutama kepada calon Barisan Nasional (BN) yang akan mengibarkan bendera BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Aktiviti Gereja St Michael Engkilili, di Dewan Gereja di sini, baru-baru ini.

Selain itu katanya, sumbangan kerajaan BN dari segi pelaksanaan pembangunan kepada rakyat selama ini harus dibalas kembali dengan sokongan padu rakyat sendiri kepada kepimpinan BN se-panjang masa.

Sehubungan itu adalah amat penting bagi semua rakyat terutama di luar bandar untuk terus bersatupadu dan bekerja-sama dengan pihak kerajaan bagi menjayakan segala pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.