Wednesday 21 May 2014

Masa yang sesuai untuk SPDP, SUPP bergabung

Ia ekoran kemunculan TERAS yang dianggap sebagai kuasa baharu yang wajar diberi pertimbangan


KUCHING: Sekarang adalah masa yang sesuai bagi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk menghidupkan semula idea menggabungkan kedua-dua parti politik itu.

Penganalisis Politik Dr Jeniri Amir berkata ia ekoran daripada perubahan drastik dalam landskap politik negeri disebabkan kemunculan TERAS yang dianggap oleh ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) sebagai kuasa baharu yang wajar diberi pertimbangan serius.

Katanya beliau tidak melihat sebarang masalah bagi BN meneliti idea tersebut bukan sahaja kerana politik adalah sesuatu yang tidak mustahil tetapi juga mungkin mahu penyelesaian ini mengurangkan, jika tidak menamatkan semua perbalahan dan perselisihan dalam BN.

Menurutnya, idea itu bukan sesuatu yang baharu daripadanya kerana pada suatu ketika pada tahun ini, SPDP dan SUPP ada bermain-main dengan idea tersebut selepas ia dicadangkan pada satu majlis makan malam ramah mesra BN dihadiri tetamu kehormat dan Timbalan Presiden SPDP ketika itu Datuk Seri Tiong King Sing di Miri.

Ketika itu Presiden SUPP Tan Sri Peter Chin memberi gambaran beliau bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai idea itu manakala Tiong membayangkan SPDP terbuka kepada idea tersebut, ujar Jeniri.

Rentetan daripada itu, Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining, Ketua Pemuda SPDP Robert Ayu dan Ketua Wanita SPDP Datuk Chiew Yen Chew muncul dalam laporan media untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada idea itu.

Bagaimanapun kata Jeniri, Tiong dan Chin menafikan mereka telah memulakan idea itu dengan mendakwa mereka tidak pernah berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri untuk membincangkan penggabungan dan ia dinafikan selepas Timbalan Presiden SUPP Datuk Richard Riot menolak idea tersebut.

Jeniri berpendapat SPDP dan SUPP mungkin perlu bergabung untuk menambah jumlah kerusi mereka memandangkan TERAS dijangka akan membuat tuntutan mereka ke atas 12 kerusi yang pada asalnya atau mengikut tradisi diperuntukkan oleh BN kepada SPDP (yang melibatkan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen), SUPP (lima kerusi DUN) dan Parti Rakyat Sarawak atau PRS (melibatkan satu kerusi iaitu DUN Pelagus).

Hakikat ini tidak dapat diketepikan jika BN pada akhirnya nanti membenarkan wakil rakyat dalam TERAS untuk mengekalkan kerusi yang mereka menangi dalam parti lama dan bertanding di sana di bawah TERAS, tambahnya.

Jeniri turut berkata: “Dengan perkembangan terbaharu dalam politik negeri dan menilai daripada sambutan yang positif kepada kemunculan TERAS oleh ramai pemimpin PBB – tonggak dan tulang belakang BN Negeri, saya rasa, sudah tiba masanya bagi SPDP dan SUPP untuk menghidupkan semula idea tentang penggabungan.

“Penggabungan ini juga boleh menjadi penyelesaian menang-menang bagi SPDP-SUPP dan TERAS yang saya lihat sebagai satu penggabungan di antara kumpulan serpihan daripada SUPP, SPDP dan SWP.

“Saya tidak tahu bagaimana reaksi parti komponen BN kepada semua ini tetapi idea penggabungan ini bukan perkara baharu.

“Hakikatnya seluruh BN Negeri perlu bermuhasabah diri dengan mencuba formula baharu bagi mengurangkan perbalahan dan perselisihan yang tidak perlu mengenai kerusi dan dendam peribadi jika mereka tidak mahu pengundi menjadi bosan dengan mereka.

“Penggabungan parti BN tidak mustahil. Ia banyak bergantung kepada tahap komitmen untuk mengurangkan perbalahan supaya mereka dapat memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat. Ingatlah, Pilihan Raya Negeri seterusnya akan diadakan tidak lama lagi,” ujarnya.

“Satu lagi sebab kenapa SPDP dan SUPP harus bergabung ialah kerana kedudukan mereka sekarang digugat oleh kemunculan TERAS.

“Ia adalah paling baik bagi mereka (SPDP dan SUPP) untuk bergabung, kerana mereka pernah menyetujuinya sebelum ini.

“Saya tahu ia tidak semudah ABC kerana mereka memiliki ciri, struktur dan perjuangan asal yang berlainan tetapi tidak ada salahnya mencuba selagi penggabungan itu dapat mengukuhkan lagi BN secara keseluruhannya.

“Jika ada kesediaan, keazaman politik yang kuat, jika semua mereka berfikiran terbuka, sanggup berkompromi dan sangat ikhlas, ia boleh dilakukan.

“Lagipun, jika semua pemimpin TERAS yang berasal daripada pelbagai latar belakang menunjukkan mereka dapat bergabung demi perpaduan BN, kenapa SPDP dan SUPP tidak boleh?” katanya.

Mengenai bantahan beberapa parti pembangkang terhadap TERAS, Jeniri berkata beliau hairan dengan bantahan mereka kerana penggabungan yang mungkin berlaku di antara parti-parti BN tidak ada kaitan dengan parti pembangkang atau mungkin juga mereka bimbang dengan cara baharu yang diamalkan oleh BN dalam tindak-tanduknya.

No comments:

Post a Comment