Sunday 21 April 2013

Dr Tiki harus letak jawatan Pengerusi MLKN: Ranum Mina

BAU: Calon Bebas Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe digesa meletak jawa- tan sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Ranum Mina berkata, gesaan itu adalah susulan keputusan Dr Tiki bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“PLKN (Program Latihan Khidmat Negara) adalah program kerajaan, jadi tidak wajar bagi beliau masih memegang jawatan dalam kerajaan sedangkan beliau bertanding sebagai calon Bebas,” katanya ke-pada pemberita di Pusat Penamaan Calon Parlimen P.192 Mas Gading di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Beliau mengiringi calon BN Anthony Nogeh Gumbek bagi mengemukakan pencalonan untuk bertanding di Parlimen Mas Gading.

Selain Anthony dan Dr Tiki, kawasan tersebut turut menyaksikan pencalonan Mordi Bimol (DAP) dan Patrick Anek Uren (STAR).

Dr Tiki bertanding sebagai calon Bebas susulan beliau tidak dicalonkan semula oleh BN.

Pada 2011, beliau dipecat daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) susulan krisis dengan Presiden parti itu, Tan Sri William Mawan Ikom.

Beliau bagaimanapun masih mengakui bersama BN meskipun tidak menganggotai mana-mana parti komponen.

Ranum berkata lagi, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Peter Nansian Ngusie juga harus menyatakan pendirian sama ada memihak kepada calon BN atau Dr Tiki.

“Sebagai menteri muda beliau sewajarnya menyokong calon BN,” katanya. Nansian merupakan seorang daripada rakan Dr Tiki yang sama-sama keluar daripada SPDP.

“Beliau perlu menyatakan pendirian sekarang agar tidak wujud kekeliruan di kalangan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Dr Tiki menyerahkan keputusan berhubung kedudukannya sebagai Pengerusi MLKN kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak ada sebab untuk saya meletak jawatan semata-mata kerana saya bertanding sebagai calon Bebas,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment