Sunday 28 April 2013

DAP pelawa penyokong tampil sebagai sukarelawan ejen tempat mengundi


KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempelawa penyokong-penyokongnya untuk tampil sebagai sukarelawan ejen tempat mengundi khasnya menjelang hari mengundi, bagi undi pos.

Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, sehingga kini DAP masih kekurangan tenaga dari segi ejen tempat mengundi terutama pada 30 April ini (undi pos).

“Memandangkan 30 April adalah hari bekerja, kami amat memerlukan ramai sukarelawan di kalangan penyokong kami.

“Bagi mereka yang berminat boleh tampil atau menghubungi pejabat DAP kerana kami amat kekurangan sukarelawan khasnya ejen tempat mengundi,” katanya pada sidang media bersama calon Stampin Julian Tan di ibu pejabat DAP di sini, semalam.

Menurut Chong yang juga calon DAP Parlimen Bandar Kuching, konstituensi itu dianggarkan mempunyai 2,000 pengundi awal sementara 4,000 pengundi awal di Parlimen Stampin.

“Ini amat penting kepada kami bagi melancarkan proses dan berharap ramai penyokong tampil menjadi ahli,” tegasnya.

Sementara itu berhubung isu lain, Chong menggesa rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan judi pertaruhan keputusan pilihan raya yang didakwa milik sesetengah pihak.

Katanya ia hanya akan memberi manfaat kepada mereka yang tidak bertanggungjawab mengadakan perjudian yang kini sudah mula dijalankan.

“Kami berharap rakyat bukan sahaja di Stampin atau Bandar Kuching tetapi seluruh Sarawak supaya jangan terlibat dalam perjudian keputusan pilihan raya kerana ia ibarat kita memperjudikan masa depan anak-anak,” tegas beliau.-theborneopost

No comments:

Post a Comment