Friday 28 September 2012

SUPP Wajar Terima Idea Baharu, Fahami Aspirasi Generasi Muda


KUCHING: Para pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) wajar menerima idea baharu dan memahami aspirasi dalam kalangan generasi muda agar parti itu kekal relevan dalam menempuh perubahan landskap politik negeri ini.

Bercakap mengenai situasi kepimpinan SUPP semalam, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menambah, cabaran berkenaan ialah mendaftarkan lebih ramai ahli muda sebagai sebahagian proses pembaharuan parti.

Menurut beliau, jika parti berupaya melaksanakan peranan antara 20 dan 30 tahun yang lepas, ia mesti mampu menarik penyertaan golongan profesional muda untuk masa hadapan.

“Profesional muda perlu menyertai SUPP agar dapat memperbaharui parti dan mereka perlu sedia bermula di mana-mana peringkat dan menaiki tangga,” katanya.

Taib yakin ada beberapa profesional muda berupaya untuk bermula di peringkat pertengahan atau di kepimpinan atasan.

Katanya, idea-idea baharu daripada ahli-ahli muda parti wajar digabungkan dengan pengalaman pemimpin semasa agar berupaya menghasilkan doktrin politik pada masa depan.

“Sehinggalah SUPP memulakan inisiatif proses membawa lebih ramai orang muda, ia sukar untuk dicapai dan inilah cabaran yang dihadapi parti tersebut pada masa kini. Ia wajar dipikul bersama oleh mereka yang mencintai SUPP dan komuniti Cina,” ujar beliau lagi.

Beliau memberitahu, komuniti Cina mesti menyesuaikan diri dengan situasi semasa agar selari dengan pembangunan agresif yang dilaksanakan di negeri ini, terutama pembangunan untuk masa depan.

“Pada masa lepas mereka memiliki satu kelebihan tetapi sekarang sudah tidak ada lagi. Situasi sekarang tidak sama seperti 40 atau 50 tahun lampau apabila Cina menjadi peneraju dan Bumiputera cuma menjadi pengikut,” katanya.

Pada masa kini, Bumiputera berupaya melaksanakan peranan sebagai peneraju dan membina serta bekerjasama dengan Cina untuk lebih membawa manfaat kepada kedua-dua pihak, katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri menyeru komuniti Cina agar melaksanakan peranan lebih aktif dalam pembangunan negeri dan tidak sekadar bergantung dengan SUPP untuk tujuan itu.

SUPP, satu daripada empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak, berhadapan dengan kemelut kebangkitan semula apabila semakin kurang sokongan dalam kalangan pengundi Cina di bandar.

SUPP dilapor akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada Sabtu ini dan antara lain ia akan membincangkan dua usul menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) pada Ahad lepas.

Usul itu ialah agar SUPP keluar dari BN dan satu lagi perkara berkaitan tindakan disiplin terhadap Pengerusi SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh kerana dikatakan melanggar peraturan parti.


sumber: utusan sarawak

No comments:

Post a Comment