Tuesday 18 September 2012

Dominique Ng tidak berminat bertanding PRU13

KUCHING: Bekas ADUN PKR Dominique Ng semalam berkata beliau tidak berminat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, walaupun beliau telah menganjurkan acara Hari Malaysia yang dihadiri para pemimpin daripada STAR dan SNAP.

Beliau tetap menunjukkan sokongan untuk Agenda Borneo, yang sedang diperjuangkan oleh STAR dan SNAP dan beliau juga berjanji untuk meneruskan perjuangan bagi hak-hak yang harus diberikan kepada Sarawak dan kesedaran pihak berkuasa yang berlainan bagi minyak dan gas di negeri ini.

“Saya masih bersara daripada politik, saya sangat bosan dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

“Tetapi ini bukan perjuangan politik peribadi, ia adalah perjuangan di Sarawak.

“Politik atau sosial atau apa jua cara, ini adalah apa yang Sarawak harus perolehi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan acara Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini, kelmarin.

Ng berkhidmat sebagai ADUN Padungan pada tahun 2006 hingga 2011 dan juga merupakan pengerusi PKR Sarawak untuk beberapa tahun.

Beliau meninggalkan parti selepas itu setelah beliau dijatuhkan pada pilihan raya negeri tahun lepas dan kemudiannya bertanding sebagai calon bebas tetapi gagal mempertahankan Padungan menerusi pertandingan tiga penjuru.

Namun demikian, beliau terus mengadakan upacara mengibarkan bendera Hari Malaysia di Padang Merdeka, yang telah dilakukannya setiap tahun sejak 2005.

Hadir memberikan sokongan ialah Naib Presiden STAR Patrick Anek Uren, Naib Presiden SNAP Darrel Walter Entrie, bekas Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Wan Zainal Abidin Wan Senusi dan bekas Bendahari PKR Sarawak Wan Huan Yu.


No comments:

Post a Comment