Monday 6 August 2012

Sarawak masih perlu BN untuk kekalkan pembangunan

KUCHING: Sarawak masih memerlukan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kemapanan pembangunan di negeri ini khasnya infrastruktur dan pendidikan untuk rakyat.

Ketua Wanita BN Negeri Dato Sri Empiang Jabu berkata, sehubungan itu kerjasama semua komponen parti BN negeri untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) amat penting.

“Sarawak masih memerlukan lebih banyak pembangunan infrastruktur serta pendidikan.

“Kita masih memerlukan BN untuk membantu kita mengekalkan kemapanan pembangunan negeri dan PRU kali ini amat penting kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada ahli jawatankkuasa program Malam Bersama Sahabat di P.195 Bandar Kuching dan P.196 Stampin anjuran Pergerakan Wanita Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang dihadiri Pengerusi Pengelolanya, Wendy Earnest Sadan di sini, semalam.

Empiang yang juga Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan, hubungan baik sedia ada di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan juga harus diperkukuh dan dikekalkan.

“Hubungan (baik) dengan kerajaan persekutuan diharap diteruskan. Ini kerana kita mahukan Sarawak setanding dengan negeri lain yang membangun di negara ini, selaras dengan visi kita,” kata beliau.

Berhubung inisiatif Malam Bersama Sahabat oleh Pergerakan Wanita SPDP yang diadakan pada 29 Ogos ini, Empiang berkata ia satu langkah yang amat dialu-alukan kerana membabitkan semua komponen parti BN negeri.

Katanya, inisiatif yang mengumpulkan semua ahli khasnya Pergerakan Pemuda dan Wanita itu membantu BN negeri ke arah mencapai objektif umum iaitu memenangi PRU13.

“Walaupun ia anjuran SPDP bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), namun ia juga disertai dua lagi parti kompenan itu PBB serta Parti Rakyat Sarawak (PRS),” ujar Empiang.

Katanya, program sedemikian akan dianjurkan secara berterusan bagi mengukuhkan BN di negeri ini terutamanya di kawasan Kuching.

Objektif program ialah melancarkan Jentera BN bagi kedua-dua kawasan Parlimen terbabit.

Program bertemakan ‘Best Friend Forever Charity Movie Night’ itu akan diadakan di MBO Pusat Beli-belah tHe Spring di sini bermula pada jam 6.30 petang.

Hadir sama, Ketua Wanita SPDP Pending Wennie Lim dan Ketua Pemuda Pusat SUPP Tan Kai dan Setiausaha SUPP Cawangan Kota Sentosa Lo Khere Chiang.

No comments:

Post a Comment