Thursday 9 February 2012

RM67.5j tanam semula getah

 

 by Sandy Mark Luna. Posted on February 9, 2012, Thursday



AMALAN MEMBAJA: Jabu (tiga kanan) dan Rahim (dua kiri) membaja
pokok getah sebagai simbolik pelancaran Gerakan Membaja Peringkat
Sarawak di Kampung Sebat Melayu, semalam. Turut kelihatan Adenan
(kiri) dan Wan Junaidi (dua kanan).


LUNDU: Ia adalah peruntukan RISDA di tanah berkeluasan 5,000 hektar di seluruh Sarawak.Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM67.5 juta untuk melaksanakan Program Tanam Semula di tanah berkeluasan 5,000 hektar di seluruh negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, program itu akan dilaksanakan di kawasan kebun getah yang tidak bermutu dan berhasil rendah dengan getah klon baharu yang berhasil tinggi.“Justeru, pekebun kecil perlu merebut peluang tersebut untuk menanam semula kebun getah yang tidak lagi mengeluarkan hasil atau pendapatan sangat rendah.

“Program menanam semula getah oleh RISDA dengan kerjasama Jabatan Pertanian itu akan memberi peluang kepada (peserta) luar bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Gerakan Membaja Peringkat Sarawak di Kampung Sebat Melayu, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi RISDA Tan Sri Rahim Tamby Chik, Menteri Tugas-tugas Khas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem dan Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian memberitahu, RISDA turut menyediakan bantuan sebanyak RM13,500 per hektar termasuk menyediakan benih secukupnya daripada klon terbaik.Bagi per hektar, katanya antara klon yang diberikan adalah PB 260 yang mampu menghasilkan 2,168 kilogram (kg), PB 350 (2,765kg) RRIM 2001 (2,850kg) dan RRIM 2002 (2,348kg).Bagaimanapun, katanya pokok itu perlu dibaja sebaiknya dengan menggunakan baja disediakan RISDA agar potensinya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Sementara itu, Rahim memberitahu, pihaknya akan terus membantu seramai 112,259 pekebun kecil di negeri ini yang melibatkan kawasan getah seluas 157,163 hektar.

Sepanjang 2009 hingga 2011 katanya, RISDA meluluskan bantuan tanam semula dan bantuan lain berjumlah RM17.7 juta selain membekalkan 20,774 beg baja dengan nilai RM883,046.

Gerakan membaja itu diperhebat bagi meningkatkan produktiviti pekebun kecil agar dapat meningkatkan pendapatan mereka selari dengan Model Baharu Ekonomi, katanya.

“Melalui amalan pembajaan yang betul, tempoh muda pokok dapat dipendekkan kepada 4 1/2 tahun selepas ditanam di kebun dengan mempraktikkan amalan pertanian yang baik serta teknologi sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru pekebun kecil untuk tidak terus berasa selesa tetapi terus memberi komitmen lebih tinggi, selain terus memberi respons kepada teknologi, pendekatan mahupun sistem yang diperkenal dari semasa ke semasa.

“Apa yang perlu dilakukan oleh para pekebun kecil adalah mengubah minda dan sikap untuk melihat tanah sebagai aset untuk menjana pendapatan secara maksimum.“Kita juga berharap anda akan terus merebut peluang-peluang yang disalurkan kerana RISDA hanya dapat merancang dan membantu pekebun kecil,” katanya.

Rahim turut mengumumkan bahawa skim pekebun kecil dan tanam semula dijangka akan turut dilaksanakan di Kemboja pada hujung tahun ini.Tambahnya, RISDA akan menghantar satu pasukan teknikal yang terdiri daripada pegawai kanan untuk mengenal pasti kawasan seluas 10 hektar yang sesuai selain mendapatkan pajakan selama 70-80 tahun serta melihat perjanjian dengan pihak berkuasa Kemboja bagi memastikan kepentingan RISDA dilindungi.

“Syer akan dibahagi 60-40 atau 50-50 dengan pekebun kecil di sana untuk memastikan Malaysia mendapat berjuta-juta Pulangan Pelaburan Luar Negara (ROI),” katanya.

No comments:

Post a Comment