Wednesday, 16 January 2013

Jalan akses untuk warga Baleh



TELITI: Manyin (kiri) dan Masing mendengar penjelasan daripada pegawai kanan JKR mengenai projek pembinaan jambatan Batang Baleh di Nanga Mujong di Kuching, semalam.


Projek jalan, jambatan di kawasan strategik ke Kapit siap dalam tempoh tiga tahun

KUCHING: Penggunaan perahu panjang oleh penduduk Baleh untuk ke bandar Kapit bakal berakhir apabila projek pembinaan jalan-jalan akses ke kawasan penting Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Kapit siap dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari sekarang.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, projek-projek itu ialah jalan akses fasa satu ke Empangan Hidroelektrik Baleh melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 490 meter merentasi Batang Baleh di Nanga Mujong di Bahagian Kapit.

Beliau berkata, kos pembinaan jambatan itu ialah kira-kira RM77 juta dan dijadual siap dalam tempoh dua setengah tahun.

Manakala projek kedua, katanya, ialah pembinaan jalan raya kategori R3, sepanjang 18.2 kilometer dan empat jambatan yang merupakan fasa pertama jalan akses dari Sangan ke Kapit melalui kawasan lombong arang batu di Nanga Merit, Kapit.

Tender projek itu yang menelan kos kira-kira RM170 juta, katanya, telah diserahkan kepada syarikat kontraktor Trans Resources Corporation Sdn Bhd untuk disiapkan da-lam tempoh tiga tahun.

“Tapak (projek) telah pun diserahkan kepada kedua-dua kontraktor iaitu Samado Sdn Bhd untuk pembinaan jambatan dan Trans Resources Corporation bagi pembinaan jalan akses dari Sangan ke Kapit. Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada kadar segera,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU)di antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kedua-dua kontraktor.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Muda Pembangunan Infra-struktur Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Pengarah Unit Perancang Negeri Datu Ismawi Ismuni dan Pengarah JKR Negeri Zuraimi Sabki.

Manyin menambah, untuk baki pakej jalan akses ke kawasan berkenaan, kementeriannya masih menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat dan pihak konsultan telah menyiapkan kerja-kerja asas.

“Saya berharap baki pakej dapat dilaksanakan dalam tempoh beberapa tahun dan sebaik kerajaan negeri mendapat peruntukan bagi tujuan itu, tender terbuka akan dilakukan,” jelasnya.

Ditanya mengenai perkembangan projek pembinaan Jalan Sibu-Kapit, Manyin berkata sekurang-kurangnya RM400 juta diperlukan untuk membina jalan sejauh 33 kilometer menghubungkan Song dengan Kapit dan pembinaan jambatan di Kanowit.

“Jalan Sibu-Kapit-Kanowit adalah sepanjang 110 kilometer, namun wujud dua tempat yang terputus hubungan iaitu Jalan Song-Kapit sejauh 33 kilometer dan Sungai Kanowit.

“Perkara ini telah diajukan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Kuala Lumpur sebanyak dua kali.

“Jadi kita berharap akan mendapat jawapan positif kerana jika masalah ini tidak diatasi, pembinaan Jalan Sibu-Kapit tidak akan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” jelasnya sambil menambah, apabila masalah itu diatasi, maka orang ramai boleh ke Kapit dari Sibu dan dari Bintulu ke Kapit dan sebaliknya.

Sementara itu, Masing berkata, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan pusat atas peruntukan kira-kira RM250 juta bagi kedua-dua jalan akses itu yang akan membolehkan penduduk di kawasan Baleh pergi ke bandar Kapit menggunakan kenderaan darat.

“Dalam tempoh 30 bulan, kenderaan darat akan menjadi pengangkutan utama di kawasan saya menggantikan penggunaan perahu panjang. Terima kasih kepada kerajaan pusat dan negeri kerana merealisasikan keinginan rakyat di kawasan Baleh khas-nya,” katanya.

Tuesday, 4 December 2012

Lupakan hasrat tukar kerajaan


KUALA LUMPUR 3 Dis. - Segelintir warga Malaysia yang mahu bereksperimen menukar kerajaan diminta melupakan hasrat tersebut, sebaliknya mereka perlu bersama-sama mempertahankannya demi masa depan negara lebih cemerlang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, perkara itu amat penting kerana terbukti kerajaan Barisan Nasional (BN) komited memajukan negara ini, dalam masa sama membela nasib hidup rakyat melalui pelbagai program transformasi.

Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya program-program transformasi itu masih ada ruang untuk ditingkatkan, rakyat diminta bersama-sama membantu kerajaan supaya matlamat pelaksanaannya tercapai.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mencetuskan pelbagai program transformasi dan tujuannya adalah untuk memajukan negara dan membela nasib hidup rakyat.

"Oleh itu, rakyat diminta bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakannya. Dalam masa yang sama hentikanlah sebarang hasrat untuk menukarkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun Arkib Negara Malaysia yang ke-55 bertemakan '55 tahun Arkib Negara Malaysia: Era Digital' di Arkib Negara di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf; Ketua Pengarah Arkib, Daresah Ismail dan Pengerusi Lembaga Penasihat Arkib, Nancy Syukri.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim semalam, bahawa cubaan segelintir rakyat di negara ini bereksperimen menukar kerajaan merupakan tindakan berbahaya dan akan memakan diri sendiri.

Tunku Abdul Aziz berkata, tindakan itu yang dilakukan hanya kerana termakan janji manis dan fitnah pembangkang, sekali gus mengakibatkan kerugian dalam jangka masa amat panjang

Sebelum ini, Rais pernah menegaskan, adalah berbahaya jika rakyat melakukan eksperimen menukar kerajaan tanpa membuat pertimbangan adil dan teliti.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian sedang meneliti mekanisme perundangan dalam usaha memastikan rakaman koleksi-koleksi sejarah serta peristiwa penting diserahkan kepada pihak Arkib apabila diminta.

Beliau berkata, koleksi tersebut sama ada yang disimpan oleh agensi kerajaan mahupun swasta.

"Setakat ini, kita belum dapat menentukan sama ada mekanisme perundangan ini memerlukan pindaan undang-undang atau tidak. Saya sendiri memerlukan input-input serta taklimat daripada semua pihak sebelum keputusan seterusnya diambil," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menghargai keupayaan pihak Arkib yang berjaya melakukan proses digital terhadap 126,299 bahan sejarah untuk tujuan rujukan.

"Usaha ini memerlukan komitmen yang begitu tinggi daripada semua pihak. Saya harap dalam kita menjadikan bahan-bahan ini dalam bentuk digital, yang asal juga perlu dipelihara," katanya.

‘Shielding M’sia from global financial crisis our biggest success’



GREAT JOB: Najib speaking at the monthly assembly. The prime minister thanked public service officers for helping the government attain globally-recognised success.— Bernama photo

PUTRAJAYA: Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak said yesterday the country’s biggest success this year was shielding the nation and people from the global financial crisis.

He said the success was no mere feat because many other countries were in a state of uncertainty and had seen their economies crash, while Malaysia achieved a moderately high growth.

“That’s not all. Much recognition was showered on us at the international level because we achieved a commendable economic growth in a situation when the world faced challenging external factors.

“Additionally, the process of national development, taking care of the people’s well-being, socio-economic programmes and the national transformation agenda went on smoothly and effectively,” he said at the monthly assembly of the Prime Minister’s Department, here.

Najib said the country’s greatness was also evident when he delivered speeches at international forums and conferences as a representative of a successful nation.

“It is a major success which all of us can be proud of because it is not the success of mine alone but of all of us collectively,” he said.

In this context, the prime minister recorded his thanks to the public service officers who had helped the government attain the globally-recognised success, and expressed the hope that the momentum would continue.

At the same time, he said, it was hoped that the developments in Palestine would be taken as a lesson, that unless the peace and stability of a country were safeguarded well, the country might lose everything.

“It is not only that we will not be able to bring further progress, development and renewal, but whatever we have achieved and nurtured may be destroyed.

“It is also necessary to fortify our resilience against the known or unknown enemy as failure to do so may cause the country and people to become victims of those people uncomfortable with us or who have the desire to conquer or dominate us,” he said at the event where he also launched a ministry-level fund, ‘Tabung Tangisan Gaza’, to aid the Palestinians.

The prime minister also said that in international politics, the influence of a country depended on the perception of other countries as to its success.

If Malaysia wanted a higher profile, to be respected and revered by other countries, it would have to demonstrate and portray itself as an increasingly successful nation, he said. — Bernama

sumber:borneopost

DAP digesa berhenti kelirukan rakyat


SOKONGAN: Yap (duduk tengah), Ketua Wanita SUPP Tnay Li Ping (duduk kiri) dan Penasihat Undang-undang Milton Foo (duduk kanan) membenarkan rambut mereka dipotong oleh pendandan rambut sebagai tanda sokongan mereka kepada pendandan rambut di Kelantan.



KUCHING: Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) semalam menggesa Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk berhenti mengelirukan orang awam berhubung pelaksanaan undang-undang Islam ke atas bukan Islam oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) yang diterajui Kerajaan Negeri Kelantan.

Setiausaha Agungnya Wilfred Yap berkata walaupun DAP telah berulang kali menyatakan bahawa tidak ada cara untuk undang-undang Islam akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mula berkuasa, insiden baru-baru ini di Kelantan menunjukkan sebaliknya.

Yap merujuk kepada kemarahan orang awam ke atas saman oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dua minggu lalu kepada pemilik salun rambut di Kelantan kerana salun rambut wanita turut memotong rambut pelanggan lelaki.

“Walaupun DAP sentiasa meminta orang ramai untuk tidak takut dan menyatakan bahawa tidak ada cara untuk undang-undang Islam dilaksanakan, kini kita boleh melihat bahawa fakta itu adalah sama sekali berbeza daripada apa yang dikatakan DAP. Jadi jangan sekali mempercayai kata-kata mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena kempen mengutuk tindakan MPKB yang turut dihadiri oleh sekumpulan pendan-dan rambut di sini sebagai menunjukkan sokongan kepada rakan-rakan mereka di Kelantan.

Pada 27 November lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba melegakan kemarahan dengan menyatakan bahawa PAS percaya Kerajaan Ne-geri Kelantan tidak bermaksud untuk memperluaskan pelaksanaan mana-mana undang-undang atau undang-undang yang berkaitan dengan moral ke atas bukan Islam.

“Jadi daripada apa yang dia (Abdul Hadi) kata, ia seolah-olah bahawa dia telah membayangkan bahawa pelaksanaan undang-undang Islam yang telah dilakukan disebabkan kesilapan yang tidak disengajakan tetapi pengawasan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS?” kata Yap mempersoalkan.

Beliau menyatakan kesedihannya bahawa DAP yang merupakan sebahagian daripada PR, telah gagal mendesak Kerajaan Ne-geri Kelantan untuk mentakrifkan dengan jelas dan memasukkan dalam permulaan setiap satu undang-undang dan undang-undang kecil negeri mereka bahawa peraturan-peraturan tidak terpakai kepada orang bukan Islam.

Yap berkata, kedua-dua Parti Keadilan Rakyat dan DAP mestilah ikhlas kepada rakyat dengan tidak menyatakan apa-apa yang boleh mengelirukan rakyat hanya demi meraih undi daripada pengundi.

sumber:borneopost

Monday, 3 December 2012

Elak krisis kewangan kejayaan besar negara - PM


PUTRAJAYA 3 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan antara kejayaan paling besar dicapai negara sepanjang tahun ini ialah berjaya melindungi negara dan rakyat daripada krisis kewangan dunia.

Perdana Menteri berkata, kejayaan itu bukan sesuatu yang kecil pencapaiannya kerana banyak negara lain di dunia berada dalam keadaan tidak menentu dan ekonomi yang merudum, namun Malaysia sebaliknya berjaya mencapai kadar pertumbuhan sederhana tinggi.

"Bukan itu sahaja, banyak pengiktirafan di peringkat antarabangasa telah diperoleh...kerana dalam keadaan dunia menghadapi faktor luaran yang begitu mencengkam, kita telah mencapai pertumbuhan ekonomi yang membanggakan.

"Di samping itu proses pembangunan negara, pembelaan rakyat, sosioekonomi dan agenda transformasi negara berjalan dengan licin dan berkesan," katanya semasa berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

"Kesimpulannya, itulah kejayaan besar yang boleh sama-sama kita merasa bangga kerana kejayaan itu bukan kejayaan saya seorang sahaja, tetapi kejayaan kita secara kolektif," katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para pegawai kerana telah membantu kerajaan untuk mencapai kejayaan yang diiktiraf dunia dan berharap agar momentum tersebut akan berterusan.

Pada masa sama, beliau berharap apa yang berlaku di Palestin dapat dijadikan pengajaran dan iktibar kerana menurut Najib jika keamanan dan kestabilan negara tidak dipelihara dengan baik, negara mungkin kehilangan segala-galanya.

"Kita bukan sahaja tidak dapat melakukan sebarang kemajuan, pembangunan dan pembaharuan, malah apa yang telah dikecapi dan dibina selama ini mungkin akan pupus.

"Membina kekuatan untuk menghadapi musuh yang diketahui atau tidak, juga diperlukan, kegagalan berbuat demikian mungkin menyebabkan negara dan rakyat menjadi mangsa kepada musuh yang tidak senang pada kita atau mempunyai cita-cita untuk menakluki ataupun menguasai kita," katanya yang turut melancarkan Tabung Tangisan Gaza peringkat JPM.

Selain itu, Perdana Menteri berkata dalam percaturan politik antarabangsa pengaruh sesebuah negara itu bergantung kepada tanggapan negara lain terhadap kejayaan negara tersebut.

"Jika inginkan profil yang lebih tinggi, dihormati serta disegani oleh negara lain, perlu menunjukkan dan memaparkan bahawa Malaysia sebuah negara yang berjaya dan semakin berjaya," katanya. - BERNAMA

Bertenaga, cergas hadapi PRU-13



Najib Tun Razak bersama Dr. Mahathir Mohamad dan M. Kayveas menjulang tangan bersama selepas
menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung PPP di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. 
- UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN


KUALA LUMPUR 2 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO yang baru sahaja selesai menjayakan perhimpunan agung kini berada dalam keadaan cukup bertenaga dan cergas sepenuhnya untuk turun ke medan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, hal sama juga berlaku kepada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) sekali gus membuktikan kesungguhan parti itu menterjemah sokongan rakyat melalui mandat besar dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Najib, UMNO dan BN sudah belajar daripada mimpi ngeri tsunami politik 2008 dan kini bangkit membuktikan kepada rakyat melalui pelbagai dasar transformasi untuk memastikan kesinambungan kerajaan sekarang kekal berterusan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi BN tetap memberi ingatan kepada seluruh parti komponen supaya menggunakan baki masa yang masih ada untuk memastikan 'sifar masalah' baik melibatkan isu dalaman atau masalah antara parti komponen.

"Selepas tiga hari UMNO bersidang, saya boleh laporkan bahawa UMNO merupakan parti yang sudah kembali bertenaga dan cergas sepenuhnya untuk menegakkan perjuangan kita dalam pilihan raya umum akan datang.

"Kini, parti Parti Progresif Penduduk (PPP) pula bersidang di dewan yang sama (Dewan Merdeka). Saya lihat PPP juga kembali bertenaga dan cergas dan ini ramuan yang amat penting," katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

Najib menambah, selaku sebuah parti dengan keluarga besar iaitu sebanyak 13 parti komponen, jumlah itu merupakan kekuatan BN yang langsung tidak mampu ditangani pembangkang serta mesti diterjemah dalam bentuk sokongan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mahu seluruh komponen BN bergerak sebagai sebuah parti yang tersusun dengan objektif, kesepaduan serta kesefahaman jitu supaya segala dasar kerajaan dapat dipusatkan mengikut keperluan dan aspirasi rakyat yang mahu kepada transformasi.

"Kita mesti faham kehendak rakyat dan kita mesti pastikan dasar-dasar kita adalah tindak balas selari kepada keperluan serta aspirasi mereka termasuk dalam soal sistem. Kadang-kadang bukan kepimpinan yang bermasalah, tetapi bahagian pelaksana dalam sistem.

"Namun, janganlah kerana marahkan nyamuk kita bakar kelambu, jangan kerana nyamuk kita tuduh keseluruhan sistem tidak baik kerana yang penting kerajaan sekarang sedang melakukan transformasi dan perubahan itu dilakukan melalui kerajaan sedia ada," katanya.

Tindakan cuba tukar kerajaan eksperimen berbahaya




KUALA LUMPUR 2 Dis. - Cubaan segelintir rakyat di negara ini bereksperimen menukar kerajaan merupakan tindakan berbahaya dan akan memakan diri sendiri.

Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) berkata, tindakan itu yang dilakukan hanya kerana termakan janji manis dan fitnah pembangkang juga akan mengakibatkan kerugian dalam jangka masa amat panjang.

"Fikirkan, apakah bentuk transformasi dan kemajuan yang telah dibuat pembangkang dalam empat tahun memerintah selain daripada apa yang telah sedia ada dilakukan kerajaan terdahulu? Namakan bentuk perubahan serta kebaikan yang telah dibawa selama tempoh pemerintahan mereka?

"Antara perkara 'hebat' yang telah dibawa mereka sejak memerintah beberapa negeri hanyalah demonstrasi haram yang berakhir dengan keganasan, membakar sentimen rakyat Malaysia dalam pelbagai perkara, membenarkan campur tangan negara luar dan politik kebencian selain sering mengambil pujian terhadap usaha kerajaan Barisan Nasional," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menegaskan, adalah berbahaya jika rakyat melakukan eksperimen menukar kerajaan tanpa membuat pertimbangan adil dan teliti.

Menurut Tunku Abdul Aziz, sehingga kini, pembangkang bukan sahaja belum sepakat dalam memilih Perdana Menteri untuk mentadbir negara malah masih bertelingkah siapakah yang harus berkuasa jika memenangi pilihan raya umum.

"Bagaimana kita boleh bersedia menerima mereka yang hanya berminat dengan kuasa semata-mata? Sehingga hari ini masih bergaduh siapa yang layak menjadi Perdana Menteri dan jawatan-jawatan penting yang lain.

"Malaysia adalah sebuah negara kompleks yang sukar untuk ditadbir kerana dihuni oleh pelbagai kaum dan latar belakang, pengalaman apa yang mereka ada selain daripada mengkritik kerajaan selama 50 tahun," katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa rakyat Malaysia tidak sesekali memberi undi kepada pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang kerana tindakan sedemikian akan membawa kehancuran kepada negara.

"Jika benar-benar cintakan keamanan dan perpaduan negara kita, usah tersilap langkah memberi mandat kepada golongan yang hanya dahagakan kuasa dan kepentingan politik.

"Jangan sesekali membiarkan pembangkang memporak-perandakan negara ini," tegasnya.