Monday, 2 July 2012

Penduduk Parlimen Selangau perlu sabar tunggu kemudahan

SELANGAU: Penduduk di kawasan Parlimen Selangau diminta bersabar menunggu pelbagai bentuk kemudahan termasuk bekalan elektrik, air bersih dan rangkaian perhubungan jalan raya.

Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, usaha ini penting kerana semua projek tersebut dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan memerlukan masa untuk sampai ke semua tempat.

“Apa yang saya ingin tekankan di sini ialah kerajaan sememangnya sentiasa komited terhadap keperluan rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai bentuk projek pembangunan dan kemudahan.

“Apa yang pentingnya rakyat teruskan usaha untuk memberi kepercayaan dan sokongan kepada kerajaan untuk membangunkan semua rakyat di negara ini, khasnya penduduk di kawasan Parlimen Selangau,” tegasnya.

Entulu berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mini Pemakanan Sihat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Selangau di Rumah Santok, malam kelmarin.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu turut menyeru kepada penduduk di kawasan Parlimen Selangau supaya mengekalkan perpaduan yang kukuh di kalangan masyarakat majmuk dengan memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional.

“Rakyat wajar menyokong transformasi kerajaan dalam usaha membawa pembangunan untuk kesejahteraan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Menerusi ucapannya, Entulu turut menasihati penduduk di kawasan berkenaan agar tidak mudah terpedaya dengan propaganda dan dakyah parti pembangkang yang disifatkan demi agenda politik mereka.

“Kita harusnya menge-tepikan dakyah segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Mereka cuba menghasut pemikiran rakyat demi mencapai kepentingan politik mereka.

“Oleh itu, sebagai rakyat yang inginkan kemajuan dan pembangunan, bersama-samalah kita memberi sokongan penuh kepada segala usaha kerajaan demi kemakmuran rakyat,” katanya.

Pada majlis yang sama, Entulu turut menyampaikan surat pengesahan pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kepada 11 penerima, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lima penerima dan empat penerima bantuan kerusi roda.

Selain itu, Entulu turut menyampaikan bantuan Tabung Pendidikan Parlimen Selangau kepada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Sibu yang memperolehi keputusan cemerlang.

Entulu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Santok.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Joseph Mauh Ikeh, Penolong Pengarah Negeri KEMAS Joseph Unsong dan Pegawai Daerah Selangau Wan Akil Wan Ahmad Bujang.

Sunday, 1 July 2012

DAP alat Singapore untuk menjajah Malaysia?


-AWANG SELAMA

BISIK-BISIK : PAP dan DAP

ADA pihak nampaknya tidak senang apabila minggu lalu, Awang menyentuh tindakan Wisma Putra memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Ong Keng Yong berhubung penglibatan tiga diplomatnya dalam perhimpunan haram Bersih 3.0.

Lebih-lebih lagi apabila tulisan itu mengaitkan parti paling rasis di Malaysia iaitu DAP dan PAP, parti pemerintah kerajaan Singapura.

Untuk apa resah jika itu memang realiti. Sejarah tidak boleh dibohongi. Sememangnya PAP dan DAP berasal dari parti yang sama dan pernah berkongsi sejarah ketika Singapura masih berada dalam Malaysia.

Walaupun kedua-dua parti ‘berpisah’, hubungan dan kerjasama, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung tetap kukuh sehingga hari ini.

Malah ia makin mekar pada pasca Pilihan Raya Umum 2008 apabila pencapaian DAP melonjak termasuk berjaya menawan Pulau Pinang.

Awang masih ingat bagaimana pelbagai pihak di Singapura memberikan reaksi yang sangat positif atas kejayaan DAP ketika itu.

Ini diikuti lawatan Menteri Mentor, Lee Kuan Yew yang juga pengasas Singapura ke Malaysia pada 2009, yang fokusnya tidak lain ialah untuk mengunjungi Pulau Pinang di bawah teraju DAP.

‘‘Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang majoriti penduduknya bukan Melayu. Sejak pilihan raya umum lalu (2008) negeri itu telah diperintah oleh pakatan pembangkang, dengan DAP berasaskan kaum Cina menerajui (pemerintahan).’’
Ungkapan itu dipetik daripada perenggan kedualaporan utama akhbar Straits Times Singapura berhubung lawatan Kuan Yew ke negeri tersebut. Petikan itu sudah cukup menjelaskan betapa lawatan beliau begitu signifikan dan mempunyai maksud tersirat.

Awang pernah menulis tentang lawatan tersebut tidak lama dahulu, yang menyaksikan Kuan Yew menyatakan komitmen untuk membantu Pulau Pinang terutama dalam pelaburan. Tidak silap Awang, semasa di Pulau Pinang, Kuan Yew turut mengadakan mesyuarat bersama exco kerajaan negeri, menandakan sokongan moral yang istimewa. Ada juga komen kurang enak daripada beliau dan delegasinya. Antaranya pembangunan prasarana Pulau Pinang di pulau itu kononnya tidak sebaik Ipoh dan Seremban. Seorang menteri Singapura yang mengiringi Kuan Yew mendakwa negeri tersebut ketika dipimpin Gerakan kurang mendapat perhatian Kerajaan Pusat. Amboi...

Selepas lawatan tokoh PAP itu, hubungan antara kerajaan negeri dan Singapura makin intim dengan lawatan-lawatan dan pertemuan tertentu yang diatur di antara kedua-dua pihak. Awang tidak mahu membuat banyak tafsiran tetapi melihat perhatian luar biasa kerajaan Singapura kepada Pulau Pinang, ia mengundang persoalan besar.

Berbalik kepada sejarah, DAP ditubuhkan bagi menggantikan PAP pimpinan Kuan Yew ketika itu, yang disingkir keluar dari Malaysia pada tahun 1965 kerana mahu menguasai politik tanah air dan menentang hak-hak orang Melayu. Konsep Malaysian Malaysia ciptaan Kuan Yew kini terus dihidupkan oleh DAP.

Hari ini, sebahagian pemimpin DAP masih menjadikan Kuan Yew sebagai mentor. Sentimental dengan pemimpin PAP itu tidak pernah pudar apatah lagi padam. Penasihat DAP, Lim Kit Siang adalah antara orang kepercayaan Kuan Yew ketika dalam PAP. Beliau juga adalah bekas Setiausaha Akhbar Kuan Yew sewaktu zaman mudanya. Anak Kuan Yew, Lee Hsien Loong kini merupakan Perdana Menteri republik itu. Anak Kit Siang pula, Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri Pulau Pinang selain Setiausaha Agung DAP. Suara mahukan Guan Eng menjadi Perdana Menteri Malaysia makin kerap kedengaran. Sampaikan Pengerusi DAP, Karpal Singh tersasul merujuk Guan Eng sebagai Perdana Menteri pada satu majlis baru-baru ini.

Selepas kejayaan DAP pada 2008, Awang percaya PAP mahu melihat impak lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan tahun ini.
Keghairahan Singapura untuk membantu gerakan pembangkang di Malaysia atas faktor DAP, bagaikan tidak dapat dibendung lagi. Ia terserlah dalam aktiviti terbuka seperti pembabitan dalam perhimpunan haram mahupun aktiviti tertutup, yang banyak tidak didedahkan lagi. Semua ini boleh dibaca sebagai isyarat untuk melihat kerajaan Malaysia sekarang tumbang lalu digantikan kerajaan baru dengan DAP akan dominan.

DAP juga sudah tentu secara senyap mengharapkan apa sahaja bentuk sokongan strategik daripada PAP, walaupun mendakwa tiada hubungan langsung di antara kedua-dua parti.

Pulau Pinang sudah ditawan maka ada misi lain, yang lebih besar mahu disempurnakan pada PRU13. PAP sudah menunggu lebih 48 tahun untuk mencapai impian di tanah air ini, yang DAP sangat komited untuk menjayakannya. Bukankah begitu?

RM16b perbaiki Pan Borneo

by Reno Benjamin. 

Ia adalah anggaran kos oleh JKR bagi membina laluan dua lorong di jalan ini

SIMBOLIK: Manyin memotong tali belon sebagai simbolik pelancaran lori berjentera ringan baharu keluaran JAC, semalam. Turut kelihatan Ting (dua kiri), Mohamad (belakang) dan Pengarah Pengurusan NB Motors, William Ngu (tiga kiri).


SIBU: Kerajaan negeri sememangnya sentiasa ber-usaha memperbaiki keadaan jalan raya utama iaitu Jalan Pan Borneo sepanjang 1,010 kilometer agar menjadi jalan dengan laluan dua lorong.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin berkata, berdasarkan anggaran Jabatan Kerja Raya, sejumlah RM16 bilion diperlukan bagi membina jalan dua lorong tersebut.

“Kerajaan sememangnya mahu melihat jalan raya utama di Sarawak ini setaraf de-ngan jalan-jalan di Semenanjung Malaysia.

“Namun malangnya, untuk membina jalan dua lorong ini memerlukan kos yang amat besar,” ujarnya ketika ber-ucap pada majlis perasmian barisan pemasangan trak ringan JAC di N.B Heavy Industries Sdn Bhd, semalam.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Syarikat N.B Motor Datuk Ting Ong Hua, Pengarah Urusan William Ngu Ung Wei, Naib Pengarah Urusan JAC David Zhang, Peng-arah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan Mohamad Dalib serta yang lain.

Menurut Manyin, cadangan telah dibuat dan diajukan kepada kementeriannya berhubung pembinaan jalan dua lorong itu, yang pada dasar-nya dipersetujui.

“Jalan yang baik ini amat penting bagi memudahkan kita bergerak, selain dapat mengurangkan kos pengangkutan antara 30 hingga 40 pe-ratus,” jelasnya sambil menambah jalan di negeri ini tidak banyak bezanya dengan jalan-jalan lain di Semenanjung Malaysia, kecuali lebuh raya.

Lebuh raya di Semenan-jung Malaysia katanya, mempunyai standard yang sama seperti lebih raya di negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom.

“Namun lebuh raya ini dibina oleh pihak swasta dan pengguna dikenakan tol bagi melaluinya. Jika kita mahu pihak swasta membina jalan bertol, mereka perlu bina jalan baharu.

“Ini kerana kita harus ada jalan alternatif dan kita tidak boleh paksa orang ramai menggunakan jalan bertol ini,” ujarnya sambil menambah pembinaan jalan yang le-bih baik seperti lebuh raya sememangnya diimpikan oleh semua orang,” katanya.

Menyentuh mengenai kemalangan di negeri ini, Manyin memberitahu bahawa kebanyakan kemalangan yang berlaku bukan di selekoh atau jalan yang bengkang-bengkok, sebaliknya di jalan yang lurus.

“Memandu laju atau memecut juga merupakan satu sebab utama kemalangan. Banyak kemalangan berlaku bukan disebabkan keadaan jalan raya tetapi kerana kita memandu melebihi daripada had laju yang telah ditetapkan,” katanya.

Di Sarawak, purata 1.2 orang maut di jalan raya setiap hari, manakala purata 18 hingga 19 orang maut di seluruh negara.

“Ini tidak termasuk mereka yang cedera parah atau cacat akibat kemalangan. Ini amat merugikan negara dari segi ekonomi dan sumber manusia,” tambah Manyin.

BN bangunkan rakyat

by Kelvin Lambai.

Inilah politik yang diketengahkan kerajaan BN, bukannya politik untuk menghancurkan rakyat 

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa menegaskan bahawa politik yang diketengahkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah politik untuk membangunkan rakyat bukannya politik untuk menghancurkan rakyat.

Menurutnya kerajaan BN sentiasa mengetengahkan polisi pembangunan yang dapat membawa keuntungan kepada semua golongan lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bukannya polisi untuk menghancurkan rakyat.

“Polisi kita dalam kerajaan BN hanya satu sahaja iaitu untuk membangun serta menyalurkan pembangunan kepada rakyat, malah BN sentiasa mendengar setiap masalah rakyat dan berusaha untuk membantu rakyat menyelesai setiap masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Kita dalam kerajaan BN bukan seperti pihak pembangkang yang hanya pandai cakap kosong dan menabur janji mereka di merata-rata tempat, tetapi kita dalam BN sentiasa mengotakan segala janji-janji kita kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat 2012 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di Rumah Bunya Kancu, Kampung Empadi Undop, Batu Lintang dekat sini kelmarin.

Katanya rakyat harus sedar bahawa mereka (rakyat) masih lagi memerlukan pembangunan seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan sebagainya daripada kerajaan BN.

“Kesemua pembangunan yang rakyat kecapi hari ini adalah pembangunan daripada kerajaan BN bukannya daripada pihak pembangkang.

“Pihak pembangkang hanya mampu menabur janji-janji kosong mereka untuk meraih simpati daripada rakyat terutama pada saat-saat negara kita hendak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 ini,” jelasnya.

Tambahnya, seperti kita semua ketahui, pihak pembangkang ini hanya timbul menjelang pilihan raya sahaja tetapi bila tidak ada pilihan raya mereka ini akan diam menyepi.

“Sekiranya betul-betul ingin bekerja untuk rakyat kenapa apabila tidak berlakunya pilihan raya mereka ini tidak bekerja untuk rakyat?

“Kerajaan BN harus dijadikan contoh sebagai kerajaan terbaik kerana kerajaan BN sentiasa bekerja untuk rakyat dan bekerja setiap masa,” tegasnya.

Oleh itu katanya, BN sentiasa mengotakan janji mereka dan sentiasa bekerja untuk rakyat dan menjaga kebajikan rakyat.

Terdahulu, majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Penghulu Michael John Sanggup, Kaunselor Sawing Sumar, ketua-ketua masyarakat setempat serta masyarakat setempat yang lain.

Pada majlis yang sama, Rayong turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM3,000 kepada JKKK Rumah Bunya untuk tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut diserikan dengan acara memotong kek Hari Gawai, persembahan lagu-lagu karaoke, ‘ngetas ranyai’, ‘ngerebah pokok ranyai’ dan acara ‘ngiling bidai’.

Kerajaan Pusat bantu kerajaan Pas Kelantan RM5.3 bilion

KULIM 1 Julai - Kerajaan negeri Kelantan menerima bantuan berjumlah RM5.3 bilion daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh dua tahun sejak Rancangan Malaysia ke-10 dilancarkan pada tahun 2010.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam tempoh sama kerajaan negeri Kelantan hanya menyumbang hasil pendapatan berjumlah RM300 juta kepada kerajaan persekutuan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Kulim/Bandar Baharu di sini, hari ini, Ahmad Zahid berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri dan agensi-agensi kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat miskin di Kelantan.

Fakta bantuan kewangan ini diperoleh dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan dibentangkan di Parlimen Mei lepas, kata Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat berfikir secara rasional dan menilai dengan adil kerajaan Barisan Nasional yang menepati janji berbeza dengan pakatan pembangkang ibarat "saudagar janji."

Malaysia gagal jadi negara maju jika pembangkang memerintah

KUALA LUMPUR 1 Julai - Hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara maju menjelang 2020 tidak akan kesampaian jika rakyat memilih pembangkang menerajui Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ini kerana untuk mencapai cita-cita tersebut dalam tempoh yang cuma berbaki lapan tahun lagi, negara memerlukan kestabilan politik dan kesinambungan dasar sedia ada.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee. - UTUSAN

Hadi: Pas tanding 80 kerusi


MARANG 1 Julai - Pas berhasrat menjadi tulang belakang kepada pemerintahan negara jika pakatan pembangkang menguasai kerajaan Pusat dalam pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi parti tersebut mungkin meningkat sehingga 80 berbanding 66 kerusi dalam pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana sempena Himpunan Hijau Pas ke Putrajaya Ganti UMNO Peringkat Negeri Terengganu di Padang Mengkuang, Bukit Payung di sini malam tadi.

Pada pilihan raya umum ke-12, Pas bertanding di 66 kerusi Parlimen dan menang 23 daripadanya, lebih kecil berbanding DAP dan PKR masing-masing bertanding di 47 dan 97 kerusi di mana DAP menang di 28 kawasan dan PKR pula 31 kerusi. - UTUSAN