Wednesday, 2 May 2012

SWP didakwa guna penyokong import Entulu mendakwa bahawa Datuk Sng guna penyokong dari luar Selangau

Posted on May 1, 2012, Tuesday

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Entulu Belaun mendakwa pengasas Parti Pekerja Sarawak (SWP) Datuk Sng Chee Hua menggunakan penyokong dari luar Selangau.

Beliau mengambil beberapa contoh dalam beberapa minggu lepas di mana penyokong-penyokong yang menghadiri majlis anjuran SWP adalah orang luar terutama belia dari Sibu.

“Saya terdorong untuk memberi kenyataan kerana Datuk Sng sebenarnya tidak ada penyokong yang ramai di kawasan saya iaitu di Selangau.

“Sebenarnya sebarang perakuan bahawa mereka menerima maklum balas yang baik di Selangau adalah propaganda oleh Datuk Sng,” kata Entulu semalam.

Entulu yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah mendedahkan bahawa Sng yang telah membuat tiga kunjungan di Selangau minggu lepas sebenarnya mereka-reka jumlah sebenar penyokongnya.

“Beliau berjumpa dengan penduduk yang sepatutnya diadakan di Rumah Jungan, Batu 36, Jalan Sibu-Bintulu, tetapi dibatalkan berikutan kurang penyokong.

“Pada masa yang sama, majlis saya diadakan hanya 20 meter jauh di Rumah Maramat dan telah dihadiri sekurang-kurangnya 700 orang,” kata Entulu.

Entulu turut mendakwa Sng cuba mensabotaj majlisnya di Rumah Subing kira-kira dua kilometer dari Rumah Madat di mana Sng mengadakan majlisnya.

Beliau turut mendakwa majlis Sng yang diadakan di Pasai Siong telah dihadiri oleh belia-belia dari Sibu dan kawasan lain.

“Malam Sabtu lepas ketika beliau mengadakan majlis di Rumah Francis Jitai, beliau mendakwa terdapat 1,200 penyokong tetapi sebenarnya hanya antara 300 hingga 400 orang datang,” kata Entulu.

Ahli Parlimen Selangau ini juga berkata beliau tidak takut untuk berhadapan dengan Sng dan bersedia untuk berdepan dengannya di Selangau pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya bersedia untuk berhadapan dengan beliau di Selangau dengan syarat beliau mesti menggunakan proksinya,” tegas Entulu.

Ketika ini daripada 31 kerusi, 29 adalah di bawah BN dan dua lagi kerusi iaitu Bandar Kuching dan Sibu tewas kepada DAP.

Daripada 29 kerusi BN, 14 disandang oleh PBB, enam PRS, lima SUPP dan empat SPDP.

Pembangkang tidak berhak mempersoal pemberian bantuan

Posted on May 1, 2012, Tuesday

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat memberitahu bahawa parti pembangkang tidak berhak mempersoalkan pemberian bantuan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat selama ini.

Menurutnya, ini berikutan kerajaan telah memberi kebenaran kepada parti pembangkang untuk mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 di negara ini pada 28 April lepas.

Sekiranya mereka boleh mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 maka bagaimana pula BN? tanya beliau.

“Jadi jika BN mahu memberikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang kedua, ketiga atau keempat maka mereka (pembangkang) tidak boleh mempersoalkan usaha murni itu termasuk pelbagai bantuan dan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan buat masa ini,” katanya

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pesta Ikan Tapah Pantu 2012 di Pekan Pantu malam kelmarin.

Selain itu Masir juga meminta rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman untuk meluangkan masa selama setengah hari untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

“Saya berharap agar anda terus menyokong saya selaku calon BN bagi kerusi Parlimen ini pada PRU13 kelak demi memastikan kesinambungan usaha pembangunan kerajaan di kawasan Sri Aman nanti,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Donald Lawan, isteri Masir iaitu Dora Jemat, Pegawai Daerah Sri Aman Ismawie Salleh, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Cassidy Morris dan Pegawai Daerah Kecil Pantu Edward Michael Duk.

Wong Judat nafi sertai SWP

by Patricia Gari. Posted on May 1, 2012, Tuesday
 
Beliau mendakwa masih lagi ‘orang kuat’ BN dan SPDP
 
KUCHING: Naib Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang juga Ahli Dewan Undangan Ne-geri (ADUN) Meluan Wong Judat berkata, beliau masih lagi ‘orang kuat’ Barisan Nasional (BN) dan parti.

Persoalan sama ada beliau sedang mempertimbangkan sama ada akan meninggalkan BN mahupun SPDP sepatutnya tidak timbul sama sekali.

“Bagaimana saya boleh keluar daripada BN dan SPDP? Saya orang kuat SPDP. Saya penyokong kuat BN. Saya membawa kerusi Meluan kepada SPDP begitu juga BN,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kedudukannya yang dilihat sebagai satu ‘penghinaan’ kepada BN oleh segelintir pihak.

Wong juga menjelaskan laporan akhbar baru-baru ini menyatakan bahawa beliau menyokong parti baharu Parti Pekerja Sarawak (SWP) berdasarkan gambar menunjukkannya berjabat tangan dengan penggerak utama SWP Datuk Sng Chee Hua.

Sng dikhabarkan bakal bertanding di bawah tiket SWP menentang calon BN yang kemungkinan penyandangnya Datuk Joseph Salang Gandum di kerusi Julau pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menjelas lanjut mengenai pertemuannya dengan Sng pada satu majlis di Nanga Entabai, Julau pada 28 April lepas, beliau berkata, ia adalah satu kebetulan dan bukan dirancang.

Beliau menambah Majlis Pemimpin Bersama Rakyat itu dianjurkan oleh Tuai Rumah Budul dan beliau menerima surat jemputan rasmi daripada tuai rumah itu agar hadir pada majlis berkenaan.

“Itu bukan majlis SWP. Itu majlis saya sebagai ADUN BN bertemu rakyat di konstituensi. Saya masih menyimpan surat jemputan (daripada tuai rumah) untuk anda semua lihat.

“Itu program Pemimpin Bersama Rakyat Nanga Entabai. Ia adalah majlis mesra rakyat. Itu bukan majlis SWP dan Datuk Sng kebetulan ber-ada di situ,” katanya sambil menambah yang beliau akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai insiden itu pada 6 Mei ini di Pakan, Julau.

Wong juga memberitahu beliau menyedari beberapa pihak telah membesar-besar-kan isu itu apabila mengata-kan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Wilfred Rata Nissom tidak senang hati dengan insiden yang berlaku di Julau itu.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Julau, Salang (me-ngenai kejadian itu) Wong berkata, memang benar beliau mempunyai masalah peribadi dengan Naib Presiden PRS itu (Salang) yang disifatkannya bukan calon boleh menang untuk BN dalam PRU akan datang.

Tambahnya lagi, beliau tiada masalah dengan PRS sebagai sebuah parti.

Pada 14 April lalu, Mawan memberitahu media dendam peribadi antara Wong dan Salang memang betul dan ia dimanifestasikan pada satu majlis dengan kedua-duanya (Salang dan Wong) berebut pembesar suara dalam usaha menjelaskan projek Jalan Nanga Entabai-Rantau Limau bernilai RM3 juta kepada rakyat.

Dua tuai rumah lapor polis, nafi sokong Mohd Eden calon PRU13 di Batang Lupar

Posted on May 1, 2012, Tuesday

PUSA: Dua orang tuai rumah dari Rumah Meregang Pusa dan Rumah Batu Lapan, Pusa dekat sini membuat laporan polis di Balai Polis Pusa berikutan sebuah artikel yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan semalam yang menyatakan mereka memberi sokongan padu kepada anak tempatan, Mohd Eden Ali untuk bertan-ding mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dua orang tuai rumah terbabit ialah Tuai Rumah Sabai Seliman dari Rumah Panjang Batu Lapan dan Tuai Rumah Pagu Gundum dari Rumah Meregang Pusa membuat laporan polis di Balai Polis Pusa tepat jam 11 pagi tadi berikutan dengan artikel berkenaan yang didakwa oleh mereka itu adalah salah dan cuba menfitnah mereka.

Tuai Rumah Sabai Seliman bersama dengan rakan beliau iaitu Tuai Rumah Pagu ketika ditemui media di Balai Polis sejurus membuat laporan polis dekat sini menegaskan bahawa mereka berdua tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media sebelum ini.

“Kami berdua amat terkejut selepas membaca isi kan-dungan artikel berkenaan yang mengaitkan nama kami berdua yang menyatakan kami berdua menyokong penuh dan mahukan Mohd Eden Ali bertanding mempertahankan Parlimen Batang Lupar pada PRU13.

“Setahu kami, kami tidak pernah mengeluarkan mana-mana kenyataan kepada pihak media sebelum ini dan kami berdua merasakan ada pihak yang cuba mempergunakan nama kami dan menjatuhkan nama kami berdua,” ujarnya ketika ditemui media selepas membuat laporan polis dekat sini pagi tadi.

Menurut mereka lagi, memang kami akui bahawa kami mengenali Mohd Eden tetapi kami tidak pernah menyata-kan sokongan untuk beliau dicalonkan sebagai calon Parlimen Batang Lupar pada PRU13.

“Dan apa yang disiarkan oleh akhbar berkenaan adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali, kami di sini masih lagi mahukan Ahli Parlimen Batang Lupar yang sedia ada iaitu Datuk Rohani Abdul Karim untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Batang Lupar pada PRU13.

“Ini yang kami mahukan, kami mahu Ahli Parlimen yang sedia ada untuk bertanding dan kami tidak mahu ada orang lain bertanding di kawasan ini oleh kerana kami sendiri telah melihat kemampuan Ahli Parlimen yang sedia ada ini telah banyak membawa pembangunan ke kawasan kami ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, mereka turut memberikan amaran kepada pihak yang telah menggunakan nama mereka itu agar tidak lagi mengulangi perkara yang sama pada masa hadapan.

“Sekiranya kami melihat ada pihak lagi yang cuba untuk mempergunakan nama kami lagi, kami berdua tidak teragak-agar untuk mengambil tindakan undang-undang selepas ini.

“Ini amaran keras dari kami, kami tidak pernah mengeluar-kan kenyataan sedemikian kepada pihak media sebelum ini dan kami amat menyokong kepimpinan Datuk Rohani agar dicalonkan semula untuk Parlimen Batang Lupar pada PRU13 nanti,” jelas mereka lagi.

Chin tidak umum calon bertanding PRU13 dalam masa terdekat

Posted on May 1, 2012, Tuesday

MIRI: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sri Peter Chin tidak akan mengumumkan calon yang bertanding bagi kawasan Parlimen Miri (P.219) dan Parlimen lain untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti dalam masa terdekat.

“Kita perlu mematuhi kehendak Setiausaha Agung SUPP bahawa keputusan siapa yang bertanding akan diumumkan apabila tiba waktunya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pemimpin bertemu rakyat di Ibu Pejabat SUPP Miri semalam.

Semalam merupakan hari terakhir untuk parti komponen Barisan Nasional (BN) menghantar senarai nama calon.

Chin yang juga Ahli Parlimen Miri dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menambah, mereka berbincang dengan parti komponen BN yang lain mengenai pemilihan calon yang bertanding di setiap konstituensi.

“Sebagai presiden SUPP dan seperti parti komponen BN yang lain, kami akan meletakkan calon yang boleh menang.

“Perkara ini sudah dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi pada Mac lalu dan kami akan mematuhi keputusan itu,” katanya.

Ditanya mengenai calon untuk Kuching, Serian dan Sarikei yang sudah diumumkan baru-baru ini, Chin ber-kata: “Ia adalah cadangan dan bukannya keputusan muktamad.

“Keputusan muktamad perlu melalui proses pemilihan dan mendapat persetujuan semua parti komponen BN.

“Saya mahu tegaskan di sini, bahawa siapa calon di kerusi SUPP selebihnya akan diumumkan nanti. Buat masa ini, kami tidak akan buat apa-apa pengumuman.”

“Kami tidak mahu ada pihak yang tidak gembira, sebagai contoh jika mereka tidak dipilih. Pilihan raya mungkin masih jauh dan kami tidak mahu sebarang masalah tercetus jika peng-umuman dibuat terlalu awal,” tambahnya.

Sementara itu, pada Mesyuarat Jawatankuasa Liason SUPP Miri-Sibuti di SUPP Miri pada petang semalam, Chin mengingatkan supaya semua ahli menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap PRU13.

“Ini bukan masa untuk bermain, tetapi kita perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan Parlimen Miri,” katanya.

Lebih 20 ahli jawatankuasa daripada semua cawangan SUPP Miri dan Sibuti menghadiri mesyuarat yang diada-kan secara tertutup.

Sagan diberi sambutan hangat sebagai tanda sokongan agar dicalon semula

Posted on May 1, 2012, Tuesday

MARUDI: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan diberi sambutan hangat sebaik tiba di Lapangan Terbang Marudi di sini, petang kelmarin, sebagai tanda sokongan penduduk terhadap beliau.

Kebanyakan mereka yang membawa sepanduk tanda soko-ngan semasa menyambut beliau ialah ahli-ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang memberikan sokongan moral terhadap beliau yang dijangka dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Baram.

Selain ahli-ahli SPDP Marudi sendiri, turut kelihatan ialah tuai-tuai rumah panjang dan ketua kampung yang mengakui akan sentiasa berdiri di belakang beliau untuk memastikan Baram milik Barisan Nasional (BN).

“Kami masih dahagakan pembangunan, masih memerlukan kemajuan untuk mengubah nasib dan hidup di kawasan luar bandar, justeru kami terus bersama dengan BN dan beliau (Jacob) bagi memastikan pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan diterus-kan,” kata ahli SPDP Marudi Abdul Rahim Jaraee.

“Tambahan pula kami masyara-kat Melayu Marudi memang menyokong penuh Datuk Jacob (Sagan) tanpa rasa berbelah bahagi dan kerana beliau sentiasa membawa kemajuan dan pembangunan kepada penduduk Marudi dan daerah Baram amnya,” kata beliau.

Turut bersama menyambut Sagan ialah ahli-ahli daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang diketuai oleh Pengerusi Pergera-kan Wanitanya Ruhanie Muhammad.

Ahli Parlimen Baram selama empat penggal itu tiba di sini kelmarin untuk menyempurna-kan majlis penutupan rasmi Pesta PSKPP (Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan) Daerah Baram yang bermula 28 April lalu dan ber-akhir malam kelmarin.

Lebih 500 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pelbagai acara sukan, pertandingan dan permainan dalam kejohanan dua hari yang melibatkan para guru, kakitangan sokongan daripada Jabatan Pelajaran yang masing-masing mewakili lima zon iaitu Baram Hilir, Baram Hulu, Baram Tengah, Tutoh Apoh dan Tinjar.

SPDP manfaat Putera, Puteri dampingi belia

Posted on May 1, 2012, Tuesday
 
RASMI: Mawan memukul gong sebanyak tiga kali sebagai simbolik perasmian sambil disaksikan oleh (dari kiri) Sebastian, Peter Howell, Chin serta Barbara (kanan) dan Kijan (dua kanan).


MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) akan memanfaatkan sepenuhnya penubuhan sayap belianya iaitu Putera dan Puteri bagi mendampingi golongan belia di negeri ini.

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata sayap Putera dan Puteri yang diwakili oleh golongan remaja dan belia yang kebanyakannya anak-anak ahli parti itu sendiri merupakan platform terbaik bagi parti itu memahami keperluan dan kehendak golongan remaja dan belia.

“Ini kerana kerajaan sendiri ada kalanya sukar untuk menganjurkan program yang sesuai untuk golongan ini kerana mereka tidak faham dan tidak dapat memahami kehendak dan keperluan golongan ini.

“Sebaliknya melalui Putera dan Puteri SPDP, kita akan memahami apa yang mereka mahukan, keperluan mereka kerana mereka adalah daripada golongan yang sama dan amat mengetahui apa yang mereka inginkan, termasuk program dan aktiviti,” katanya.

“Anjurkanlah apa sahaja, pertandingan menyanyi, pertandingan ratu cantik dan sebagainya jika itu yang mereka mahu dan biar mereka mengambil bahagian, kerana hanya melalui cara itu kita akan mendampingi golongan ini,” katanya sambil menambah secara tidak langsung ia boleh menarik perhatian golongan itu untuk mengambil bahagian dalam bidang politik.

Mawan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Malam Pra-Gawai 2012 anjuran Puteri SPDP Cawangan N.64 Pujut, di sini malam kelamrin.

Mawan dalam ucapannya juga menyerahkan kepada sayap Putera dan Puteri sendiri untuk memberi fokus kepada perkara yang mereka fikirkan terbaik untuk golongan remaja dan belia termasuk program dan aktiviti yang dianjurkan mereka.

Katanya, asalkan ia pada akhirnya mampu membuahkan hasil yang amat baik iaitu melahirkan golongan belia yang berfikiran positif, memahami serta meminati politik dan paling utama, turut serta memberi sumbangan kepada negara.

Dalam pada itu, sayap Putera dan Puteri SPDP yang ditubuhkan pada akhir tahun lalu, diwakili oleh ahli-ahli berusia 18 hingga 35 tahun.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Ketua Puteri SPDP Barbara Mawan berkata cabaran pertama yang bakal dihadapi oleh ahli-ahli parti itu kelak ialah menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, Puteri SPDP akan menubuhkan pasukan jenteranya sendiri untuk bergabung dengan Putera bagi membantu Pemuda dan Wanita SPDP menghadapi PRU akan datang bagi memastikan SPDP bukan sahaja memperolehi kemenangan di kerusi yang ditandingi tetapi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) daripada parti lain.

Majlis makan malam yang julung kali dianjurkan oleh Puteri SPDP Pujut itu telah mendapat sambutan ramai dengan pelbagai acara menarik turut diadakan seperti persembahan tarian kebudayaan, acara memotong kek, acara merebahkan ‘pokok ranyai’ serta pertandingan Ratu Anggun Puteri SPDP.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin dan Setiausaha Politik beliau Datuk Sebastian Ting, kedua-dua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Peter Howell dan Kaunselor Kijan Toynbee serta Ketua Puteri SPDP Pujut Caroline Guna.